`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 17, 2023

Keputusan muktamad, kata speaker DUN Selangor berkait pengosongan kerusi Batang Kali

 

Ng Suee Lim berkata pihaknya mengambil pendirian tunggu dan lihat sebelum meneruskan langkah selanjutnya jika Harumaini Omar meneruskan tindakannya.

PETALING JAYA: Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata keputusan mengosongkan kerusi Batang Kali adalah muktamad, di sebalik kenyataan bekas Adun daripada Pejuang Harumaini Omar yang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap tindakan itu.

Menurut Ng, beliau menghormati keputusan ingin diambil oleh Harumaini namun menegaskan, tindakannya berlandaskan undang-undang.

“Kita hormati keputusan beliau untuk mengambil apa-apa tindakan tetapi keputusan saya mengikut lunas undang-undang, peruntukan bawah Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Secara jelas, saya melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab (sebagai speaker DUN Selangor), tiada dendam dan tiada apa masalah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Harumaini dilaporkan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan keputusan Ng mengisytiharkan kerusi Batang Kali yang disandangnya kosong.

Beliau terkejut dengan keputusan itu yang tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu, sebaliknya hanya mendapat tahu daripada rakan serta media sosial.

Selain itu, Ng yang juga Adun Sekinchan berkata pihaknya mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat sebelum meneruskan langkah selanjutnya jika Harumaini meneruskan tindakannya.

“Kalau beliau ambil tindakan, kita akan pertimbangkan tindakan yang sewajarnya. Selepas itu, ia melibatkan persediaan dan sebagainya, tiada masalah untuk kita,” kata Ng. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.