KUALA LUMPUR: Ahmad Zahid Hamidi yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) akan memberikan respons positif sebelum tempoh 60 hari berhubung usul tambahan diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno 2022, supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.
Presiden Umno berkata, pasukan peguamnya dan Setiausaha Agung Ahmad Maslan sudah meneliti usul tambahan ketika PAU baru-baru ini.
“Saya yakin sebelum tempoh 60 hari kita dapat jawapan JPPM,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Beliau diminta mengulas tempoh 60 hari diberikan JPPM untuk Umno mengemukakan penjelasan dan segala maklumat berkait aduan mengenai usul tambahan dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada PAU lalu.
Tempoh 60 hari itu bermula 20 Jan lalu, iaitu tarikh dua ahli Umno menghantar aduan kepada JPPM supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan diluluskan ketika PAU 2022 pada 14 Jan lalu.
Ahli terbabit Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan Muhammad Fiqri Firdaus, mendakwa usul dibawa pada PAU 2022 melanggar perlembagaan parti.
Sementara itu, Zahid yakin pencalonan bagi sayap Pemuda, Wanita dan Puteri serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terus meningkat menjelang pemilihan.
“Saya ambil pendekatan jawatan dipertandingkan terbuka untuk disertai yang berminat. Harap garis panduan kempen dihantar Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Shahrir Samad diikuti sepenuhnya,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.