`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 1, 2023

Kerajaan timbang wajib penyedia media sosial daftar dengan SKMM

 

Fahmi Fadzil berkata, pendaftaran itu dilihat wajar bagi memastikan semua platform media sosial memahami dan mematuhi aspek perundangan negara.

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata perkara itu dilihat wajar dilaksanakan bagi memastikan semua platform media sosial itu memahami dan mematuhi aspek perundangan negara.

“…sekarang ini tak ada sebarang pendaftaran nak beroperasi di Malaysia, jadi bila berdaftar dan beroperasi di sini, nak berniaga di sini, ada undang-undang yang wajib dipatuhi, patuh arahan dan saya kira ini perlu diselesaikan segera,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Menjawab celahan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai langkah KKD mengawal selia ekosistem aplikasi TikTok, Fahmi berkata, KKD sentiasa meneliti setiap aspek dalam mencari langkah kawalan paling sesuai berdasarkan kepentingan negara.

“Di negara lain, mereka ada pelbagai undang-undang dan tangani isu berkait TikTok ini dengan cara berbeza. Di Amerika Syarikat, penjawat awam dilarang memuat turun aplikasi TikTok di peranti rasmi mereka. Di India, sudah empat tahun menyekat penggunaan TikTok dan di Indonesia pula melarang TikTok Shop.

“Bagi Malaysia, kita ada keadaan tertentu, ada undang-undang tersendiri dan cabarannya unik kepada negara kita, jadi KKD teliti semua dan adakan sesi libat urus, termasuk dengan kementerian lain dalam mencari kaedah dan tindakan paling sesuai.”

Dalam menangani isu berkaitan perjudian dalam talian khususnya platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp, Fahmi berkata, KKD melalui SKMM sudah berbincang untuk mendapatkan kerjasama penuh Meta bagi memastikan masalah itu dapat diatasi dengan lebih berkesan.

“Kerajaan mahupun KKD masih sangat tidak berpuas hati dengan tahap kerjasama Meta masih sangat tidak memadai, oleh itu, KKD melalui SKMM sudah berbincang bagi mendapatkan kerjasama penuh daripada Meta.

“Antara kerjasama yang diminta adalah komitmen pelaksanaan tindakan penurunan kandungan dalam tempoh pantas, bukan berhari-hari, tetapi dalam masa beberapa jam, terutama bagi judi dalam talian bagi setiap permohonan diterima daripada pihak berkuasa Malaysia.”

Sementara itu, Fahmi mengesyorkan kesatuan bagi pelakon diwujudkan untuk memperjuangkan kepentingan berkaitan penggajian, kemudahan perubatan, kebajikan dan kesejahteraan penggiat industri perfileman.

Beliau berkata, ketika ini, ada lebih 50 persatuan perfileman di Malaysia, namun tiada kesatuan terdiri daripada golongan pelakon didaftarkan bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

“Di peringkat KKD dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), templat perjanjian perkhidmatan produksi standard sedang dirangka untuk rujukan dan kegunaan syarikat produksi filem tempatan mempunyai lesen aktiviti Finas.

“Inisiatif ini bertujuan menjamin perlindungan kepada pelakon baharu, veteran dan pekerja filem tempatan dari segi bayaran gaji, elaun, perlindungan insurans, Perkeso, kemudahan perubatan, penginapan, keselamatan dan makan minum sepanjang tempoh mereka terlibat produksi perfileman di Malaysia.”

Mengenai rang undang-undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia, Fahmi berkata, ia dijangka dibentang di Parlimen pada mesyuarat pertama atau kedua tahun depan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.