`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 28, 2023

Vaksin Covid-19: AstraZeneca berjaya batal saman 12 individu

 

Pada tahun lalu 12 individu memfailkan saman terhadap kerajaan, Kementerian Kesihatan dan bekas menteri kesihatan berhubung isu suntikan vaksin bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang didakwa telah memberikan kesan teruk termasuk kematian.

KUALA LUMPUR: Syarikat AstraZeneca Sdn Bhd berjaya membatalkan saman yang difailkan 12 individu berhubung isu suntikan vaksin bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang didakwa telah memberikan kesan teruk termasuk kematian.

Hakim Mahkamah Tinggi Suzana Muhamad Said membenarkan permohonan Astrazeneca untuk membatalkan saman itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Peguam Hemalatha Ramulu, yang mewakili Astrazeneca, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selepas prosiding kes secara dalam talian.

Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Muhammad Shahrin Satheer yang mewakili semua plaintif.

Pada tahun lalu, sekumpulan individu memfailkan saman terhadap kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi program vaksinasi negara ketika itu.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu Dr Noor Hisham Abdullah, Pfizer Malaysia Sdn Bhd, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd dan AstraZeneca.

Pernyataan tuntutan plaintif mendakwa KKM telah memberi satu deklarasi tidak sah dan suatu persetujuan yang dipaksa untuk mengelakkan mereka diambil tindakan berikutan kesan sampingan teruk melalui suntikan vaksin Covid-19.

Sehubungan itu, mereka menuntut defendan supaya bertanggungjawab atas kesan suntikan vaksin Covid-19 yang memberi kesan sampingan teruk termasuk menyebabkan kematian, kehilangan upaya kekal dan komplikasi lain yang mengakibatkan kerugian.

Mereka turut menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas daripada defendan.

Selain itu, plaintif menuntut agar semua vaksin yang digunakan selepas ini perlu menjalani ujian klinikal dan laporan klinikal penuh terhadap keberkesanan suntikan Covid-19 perlu dikeluarkan oleh defendan.

Mereka juga memohon injunksi interim bagi menghalang defendan daripada memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara meluas kepada rakyat Malaysia yang lain sehingga kajian klinikal dilakukan dan laporan lengkap disediakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.