`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 27, 2013

Hebatnya Rasulullah

Penulis memperkatakan mengenai salah sebuah buku yang sedang dibacanya dalam usaha mengenali tokoh-tokoh hebat dunia.
COMMENT
“Yes I am a Hindu. I am also a Muslim, a Christian, a Buddhist, and a Jew.” – Mahatma Gandhi.
Sebagai seorang individu yang cukup bertuah kerana dilahirkan di negara Malaysia sebagai penganut Hindu serta pengamal inter-faith, saya tidak melepaskan peluang mendalami pelbagai ajaran dan agama sejak usia kanak-kanak.
Satu-satunya tokoh pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad yang juga dikenali dengan nama-nama Ahmad, al-Mahi, al-Hasyir, al-Amin, al-Muqaffa’ dan al-Aqib; sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Al-Tirmizi dan Ahmad.
Apabila ada peluang, saya membaca buku-buku berkaitan Rasulullah – selain mengenai Mahatma Gandhi, Guru Nanak, Siddharta Gautama Buddha, Jesus (Nabi Isa) dan sebagainya – untuk belajar menjadi insan yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, agak mengecewakan – dan amat memalukan – apabila Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada 19 Julai 2013 melihat kekaguman saya terhadap ketokohan dan kepimpinan Nabi Muhammad sebagai alasan untuk “menyeru” saya memeluk agama Islam.
Dakwah negatif yang mereka lakukan bukan sahaja membuktikan kejahilan dan kebodohan mereka, malah memberikan gambaran seolah-oleh Rasulullah hanya “milik” umat Islam dan golongan Bukan Islam (Tidak Islam) tidak berhak mengagumi kehebatan, ketokohan dan kepimpinan Baginda.
Suka saya menyarankan – “menyeru” – orang-orang dalam ISMA membaca buku seperti The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (2001), Life of Mohamet (1889), Mohamet and Islam (1895) dan Mohammad at Mecca (1953); serta membaca pandangan tokoh dan sejarahwan dunia pelbagai kaum dan agama mengenai Nabi Muhammad.
Atau ISMA boleh juga melaburkan sedikit wang (RM18.00) untuk membeli dan membaca buku Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi & Pengurusan Kekasih Allah (2013) tulisan Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi untuk memahami betapa kehebatan Baginda bersifat universal dan tidak patut dikongkong atau ditempurungkan seperti dilakukan ISMA dan sekutunya.
Bak kata Zahiruddin, “hanya kesombongan serta kebodohan diri sahaja yang menghalang manusia daripada melihat Baginda sebagai idola piramid kehidupan, dari sekecil-kecil mengurus diri dan hati sehinggalah kepada perkara berkaitan harta juga negara.”
Maklumat para isteri Rasulullah
Saya membeli buku berkenaan terus daripada penulis pada 31 Mei 2013 iaitu semasa Pesta Buku Selangor. Zahiruddin sendiri pada mulanya agak terkejut apabila saya menyatakan keinginan mahu membeli buku tersebut.
Buku setebal lebih 300 halaman ini terbit dalam siri “perbandingan agama, kebudayaan, sejarah serta ketamadunan yang mengajak pembaca menyelami dengan lebih mendalam sisi unggul percapaian rohani dan material umat Muhammad”.
Zahiruddin mengakui bahawa beliau mendapat pengaruh besar daripada buku Muhammad SAW: The Super Leader Super Manager (2008). Gaya penulisan dan penyampaian yang bersahaja dan mudah menjadikan buku Hebatnya Rasulullah lebih mudah dibaca; apatah lagi oleh khalayak Bukan Islam.
Salah satu “pancing” yang sering cuba digunakan oleh pihak tertentu untuk “memujuk” saya meninggalkan agama Hindu adalah bahawa saya akan berpeluang kahwin empat. Saya biasanya mengabaikan sahaja “dakwah negatif” seperti itu yang sebenarnya mencemarkan kesucian agama Islam.
Dalam buku Hebatnya Rasulullah, disenaraikan maklumat kesemua 12 isteri Rasulullah. Kita biasa membaca dan mendengar mengenai Khadijah Khuwailid yang merupakan janda dua kali. Khadijah dipercayai berumur 40 tahun sementara Rasulullah berumur 25 tahun semasa mereka berkahwin.
Kita juga biasa mendengar dan memperkatakan mengenai Aisyah Abu Bakar, seorang gadis berumur 9 tahun yang dinikahi Nabi Muhammad yang berusia 52 tahun. Aisyah kemudian menjadi antara periwayat Hadis terbanyak, khususnya berkaitan masalah fiqh wanita.
Selain daripada Aisyah, seorang lagi gadis yang dinikahi Rasulullah ialah Mariah al-Qibtiyah yang menurut Zahiruddin adalah “seorang hamba yang dihadiahkan oleh Raja Mukaukis dari Iskandariah, Mesir”.
Isteri-isteri lain kepada Baginda ialah Saudah Zum’ah, Zainab Jahsy, Ummu Salamah Abu Amayah, Ummu Habibah Ramlah Abu Sufyan, Juwairiyah al-Harith al-Khuzaiyah, Safiyah Hayyi Akhtab, Maimunah al-Harith, Zainab Khuzaimah Harith dan Hafsah Umar al-Khattab.
Gambaran fizikal, keperibadian Nabi Muhammad
Saya sengaja meletakkan senarai “para isteri” di sini kerana bab kahwin-nikah memang selalu mampu berjaya menarik minat kalangan rakan-rakan Melayu. Maka, saya pula cuba “memancing” mereka supaya memiliki dan membaca buku ini agar mereka “teruja untuk mahu mencontohi Baginda” menjadi suri teladan sepanjang zaman.
Buku Hebatnya Rasulullah mengkhusus pada topik berkaitan bakat pengurusan dan pentadbiran yang dimiliki oleh Nabi Muhammad. Apa yang sangat menarik dan menakjubkan adalah bahawa teknik-teknik pengurusan yang Baginda gunakan pada zaman dahulu masih sesuai dipraktikkan pada masa kini.
Contoh berserta Hadis sahih berkaitan sikap Rasulullah dalam soal pengurusan kendiri, perniagaan, dakwah, politik, ketenteraan dan keluarga dihuraikan dengan cukup mudah, ringkas dan menarik dalam sepuluh bab pertama.
Agak menarik untuk diperhatikan bagaimana pada usia 26-40 tahun, Baginda berjaya melebarkan wilayah perniagaan milik isterinya sehingga akhirnya menjadi pemodal sahaja.
“Ruang ini memberikan banyak masa kepada Baginda untuk berfikir, mendalami serta mengkaji sehingga sering beruzlah sendirian di Gua Hira’ kerana mahu mencari ketenangan dan kebenaran. Ketika ini juga Baginda memberi perhatian dengan tekun dan kritis terhadap sistem nilai, ekonomi, kebudayaan, sosial dan akhlak,” kata Zahiruddin dalam bukunya.
Bab 12 memuatkan himpunan Hadis yang secara khusus menceritakan dan menggambarkan fizikal, keperibadian dan sikap Rasulullah. Misalnya, Baginda tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah; bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya.
Rambut Baginda ikal beralun, bentuk wajahnya bujur telur, kulit putih kemerah-merahan, mata hitam pekat, bulu mata lentik, hidung mancung, serta berbulu lebat dari dada ke pusat, manakala kedua-dua puting susu pula bersih.
Himpunan Hadis sahih yang menceritakan mengenai rambut, uban, celak mata, pakaian, gaya hidup, kasut, cincin, pedang, serban, kain sarung, cara berjalan, cara duduk, cara bersandar, cara bercakap, cara tertawa, cara bergurau, cara tidur, cara berbekam, cara makan, roti dan lauk kegemaran, wuduk, doa, cawan, minuman, wangian, syair, tangisan, akhlak, sifat malu dan pelbagai perkara lain berkaitan Nabi Muhammad boleh dibaca dalam buku ini.
Sebagai penutup, tidak hanya khusus bagi rakan-rakan dan pembaca beragama Islam, daripada Abu Hurairah, katanya:
Rasulullah SAW berkata, “Sesiapa yang dapat melihatku dalam tidurnya, sebenarnya dia memang sudah melihatku. Sebab syaitan tidak dapat menyerupai aku.”
Uthaya Sankar SB akan mengendalikan acara “Baca Cerpen Kavyan” di Galeri Shah Alam pada 1 September 2013. Maklumat lanjut di www.kavyan.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.