`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, August 7, 2013

Kemiskinan punca pelajar Penan tercicir

Disebabkan kesempitan hidup dan tidak cukup belanja mereka terpaksa belajar separuh jalan dan tidak dapat meneruskan pendidikan ke universiti.
BARAM: Masyarakat Penan Ulu Baram menggesa kerajaan mencari alternatif terbaik bagi mengatasi masalah kaum minoriti itu yang kebanyakannya ‘separuh jalan’ dalam pendidikan disebabkan masalah kesempitan hidup.
Ketua Kampung Long Jekitan, Daud Suk, 45 tahun, berkata, disebabkan jauhnya mereka di kawasan pedalaman, kos pengangkutan yang tinggi serta tidak dapat menyesuaikan diri dalam suasana hidup di bandar juga antara faktor mengapa ramai remaja Penan yang layak tetapi tidak dapat meneruskan pendidikan ke tahap lebih tinggi seperti ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Pada masa ini, terdapat enam remaja Penan dari Long Jekitan ini yang pandai (layak) masuk ke universiti, tetapi disebabkan kesempitan hidup dan tidak cukup belanja mereka terpaksa belajar separuh jalan dan tidak dapat meneruskan pendidikan ke universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mengalu-alukan rombongan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang yang merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan melancarkan Pusat Khidmat Komuniti Penan di Long Jekitan di sini.
Tidak mampu
Mengulas lanjut berkenaan situasi berkenaan, Daud memberitahu, ramai juga anak-anak kaum Penan yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jekitan, tetapi apabila tamat tahun enam, tidak meneruskan pendidikan kerana ibu bapa mereka tidak mampu menanggung kos menghantar anak-anak mereka bersekolah di sekolah menengah di Marudi atau sekolah menengah terdekat.
Jelasnya, seperti di SK Long Jekitan, terdapat 222 orang pelajar yang menuntut di sekolah rendah tersebut pada masa ini, tetapi tidak mustahil hampir 50 peratus daripadanya tidak dapat melanjutkan pendidikan ke peringkat sekolah menengah.
Akibatnya, ramai yang berkahwin awal dan hanya tinggal di kampung sebagai suri rumah tangga sepenuh masa sedangkan kalau mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya mereka boleh berjasa kepada bangsa dan negara.
“Ini amat membimbangkan memandangkan usaha kerajaan untuk membangunkan masyarakat Penan mungkin boleh terjejas jika sekiranya anak-anak Penan terus ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.
Manakala, bagi masyarakat Penan itu sendiri, tegasnya mereka hendak sentiasa menggalakan anak-anak mereka untuk belajar.
Berusaha sendiri
“Kalau boleh jangan kita terlampau mengharapkan bantuan daripada kerajaan, sebaliknya berusaha sendiri setakat yang mampu dalam menghantar anak-anak ke sekolah.
“Beri dorongan kepada anak-anak untuk belajar, dan janganlah kita ganggu pelajaran anak-anak,” katanya.
Mengenai SK Long Jekitan, beliau juga turut melahirkan rasa sedih kerana setakat ini peratus kehadiran pelajar ke dalam kelas amat tidak memberansangkan.
“Saya diberitahu guru-guru, kehadiran pelajar ke dalam kelas hanya sekitar 60 peratus sahaja, ini amat tidak memuaskan, jadi saya harap ibu bapa agar menggesa anak-anak mereka supaya jangan ponteng atau jangan ganggu anak-anak ketika sedang belajar,” katanya.
Ketika ini, SK Long Jekitan yang terletak kira-kira 350 kilometer dari Miri hanya boleh dihubungi dengan menggunakan jalan pembalakan dan jalan sungai.
Disebabkan kesempitan hidup, hanya segelintir penduduk di sana yang memiliki kenderaan pacuan empat roda sebagai pengangkutan untuk keluar ke bandar.
Bagi mereka yang kurang berkemampuan terpaksa menumpang dengan kenderaan orang lain dengan kadar tambang yang agak mahal atau terpaksa menunggu kenderaan kem pembalakan yang kebiasaannya tidak mengenakan sebarang bayaran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.