KOTA KINABALU: Rumah Agnes Keith yang terletak di Sandakan bakal dibangunkan sebagai pelancongan berteraskan kegelapan atau lebih dikenali sebagai ‘Dark Tourism’.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Jafry Ariffin berkata, perancangan itu sebelum ini telah dibuat oleh Jabatan Muzium menerusi program E-Seram namun terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.
”Ianya akan memberi peluang kepada pengunjung untuk bermalam di rumah terbabit bagi merasai sendiri kehidupan penulis tersohor Amerika Syarikat, Agnes Newton Keith bersama suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mungkin ramai yang tidak tahu rumah agam di atas bukit itu menyimpan cerita misteri.
Antara catatan Agnes termasuk pengalaman seram yang sering dilalui sepanjang tinggal di rumah berkenaan.
Agnes menulis “Saya tidak percaya pada hantu. Tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang.”
Seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968 pula terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak tangga.
Banyak lagi catatan dalam bentuk majalah yang turut dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan.
Ia membuktikan di sebalik keunikan serta sejarahnya, Rumah Agnes Keith turut menyimpan cerita misteri yang pastinya menjadikannya lebih menarik untuk dikunjungi.
”Banyak lagi lokasi di negeri Sabah yang menyimpan sejarah peperangan, kemusnahan atau tragedi yang mampu diangkat untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.