`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 15, 2021

Alat ganti tiruan ‘Y-suku’ bunuh ibu tunggal

 

Keadaan ‘t-fork’ motosikal yang patah akibat menggunakan alat ganti tiruan hingga mengakibatkan seorang wanita maut dalam kejadian 9 Julai lalu.

PETALING JAYA: Akibat ubahsuai motosikal ‘Y-suku’ menggunakan alat ganti tidak asli, dua kanak-kanak kehilangan ibu tersayang selepas bahagian hadapan motosikal dinaikinya patah sebelum terjatuh dan maut di bahu jalan, dalam kejadian di Pahang, minggu lalu.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, Norizani Ab Aziz, 36, yang juga ibu tunggal kepada anak perempuan berusia 13 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun, menunggang berseorangan dari Felda Purun Triang menuju ke Simpang Bukit Kepayang Bera.

Siasatan polis mendapati hadapan motosikalnya patah secara tiba-tiba ketika melalui jalan di KM42 Jalan Bera-Mayam, Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Kamarulzaman Jusoh berkata, ‘fork’ hadapan motosikal tersebut patah dan menyebabkan mangsa jatuh tersembam di bahu jalan.

“Penunggang telah mendapat kecederaan serius di bahagian muka dan kepala lalu meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati bahagian asal ‘t-fork’ dan ‘fork’ hadapan telah ditukarkan kepada alat ganti jenis aluminium iaitu bahan yang mudah patah kerana ia adalah bahan campuran besi,” katanya kepada FMT.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Kamarulzaman Jusoh.

Menurut Kamarulzaman, menerusi temubual bersama abang kandung Norizani, mangsa didapati telah mengubah suai motosikal Yamaha Y15ZR tersebut dengan ‘t-fork’ yang bukan asli dua tahun lalu ketika motosikal berkuasa 150cc yang dibeli pada 2017.

Kamarulzaman turut menyatakan kekesalan dengan perbuatan pemilik kenderaan yang gemar menukar bahagian asal kepada alat tidak berkualiti sehingga mengancam keselamatan.

“Pengusaha bengkel motosikal pula haruslah lebih bertanggungjawab dan bukannya hanya memikirkan keuntungan semata-mata dalam penjualan alat-alat ganti yang tidak berkualiti kepada pelanggan,” katanya, sambil menambah mengubah suai struktur kenderaan adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 94 Peraturan Jalan Raya 1959.

Lebih kepada mahu bergaya

Mengulas mengenai trend menukar ‘t-fork’ hadapan motosikal yang lebih dikenali sebagai Y-suku, pakar kejuruteraan automotif Mohamad Dalib menyifatkan ia lebih kepada sikap ingin bergaya dengan menukar bahagian asal ‘OEM’ (pengeluar peralatan asal) kepada alatan tidak asli yang mudah didapati di kedai aksesori.

“Hobi mereka dari kalangan geng penunggang Y-suku ada yang menelan belanja mencecah RM10,000 hingga RM12,000 ribu.

“Seperti perihal menukar ‘t-fork’, ia lebih kononnya mahu mengurangkan berat di bahagian hadapan atau hendak lebih ringan ketika mahu menunggang lebih laju. Tapi sebenarnya, tidak laju mana pun,” ulas Mohamad yang juga bekas pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Lagi satu, ia lebih kepada mereka mahu nampak bergaya dengan kawan-kawan namun ini mengundang kecelakaan. Rakyat Malaysia pula, apa yang dilarang pihak berkuasa, inilah yang dia suka,” katanya.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Khairil Anwar Abu Kassim pula tegas menyatakan bahawa komponen penyambung antara ‘t-fork’ dengan pemegang motosikal tidak asli yang diperbuat daripada bahan tidak menepati piawaian asal, boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna kenderaan itu.

“Komponen ‘t-fork’ memerlukan ketahanan tinggi, tetapi kebanyakan alat ganti dijual di pasaran tidak mempunyai persijilan sah dan mungkin tidak menepati piawaian,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pengubahsuaian bagi tujuan berlumba, perhiasan (penambahan aksesori) atau lain-lain tujuan melanggar undang-undang jalan raya di Malaysia dan penggunaan komponen motosikal tidak menepati piawaian boleh memudaratkan penunggang serta pengguna jalan raya lain.

Tambahnya lagi, Miros tidak menyokong aktiviti pengubahsuaian motosikal seperti menukar sepit udang, menggunakan saiz tayar tidak sesuai dan tidak memasang brek belakang motosikal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.