`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 5, 2021

Hanya ‘kerajaan Allah’ boleh hapus Covid-19, kata Hadi

 

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengulangi kenyataannya bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya “kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna” boleh menghapuskan virus itu.

Katanya, manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan, oleh itu pemimpin perlu bermuhasabah diri untuk menampung kekurangan berkenaan.

“Hanya mereka yang jahil agama saja mencari kelemahan dan kekurangan untuk diuar-uarkan, tanpa sama-sama tolong-menolong dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar seluruh dunia dan penduduknya,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, seluruh dunia masih dilanda penularan Covid-19 dan tiada negara yang berjaya menghapuskan pandemik itu dan kesan sampingannya ke atas kehidupan rakyat.

“Termasuklah negara paling maju dan kaya kerana apa yang berlaku adalah ketetapan Allah yang tiada kuasa dapat melawan kehendak-Nya.

“Keadaan semasa masih membimbangkan, sehingga angka kematian akibat wabak di sesetengah negara sudah mengatasi mangsa korban peperangan.”

Bagaimanapun katanya, ketika pandemik Covid-19 sedang mengganas, ada negara yang dilanda “wabak politiking” disebabkan individu yang terlalu gila berkuasa tanpa mempedulikan nyawa rakyat yang sedang diancam wabak.

Beliau memetik pilihan raya di Amerika Syarikat yang menyaksikan keganasan menyusul pengumuman keputusan selepas Donald Trump, yang dikatakan menggunakan kekayaannya bersama lobi Zionis, kalah serta keadaan di Mali dengan tentera merampas kuasa menjatuhkan kerajaan yang memenangi pilihan raya.

“Di Malaysia pula, wabak politiking yang dialami agak berbeza tetapi virusnya merebak dengan sangat meluas. Bermula apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihan raya dengan janji dan manifesto yang sebahagian besarnya adalah bohong dan menipu.

“Mereka juga mendapat dukungan media sosial upahan tanpa sempadan yang menyebarkan pelbagai penipuan, berita palsu dan sebagainya. Sehingga mereka berjaya mencapai kemenangan dan menubuhkan sebuah kerajaan yang membawa pendekatan liberal tidak sesuai dengan masyarakat negara ini.

“Kemuncaknya, mereka berani mencabar kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja-raja juga dicabar.

“Begitu juga kalangan LGBT dan seumpamanya mula bebas menuntut hak dan ada pula kelompok dalam kerajaan PH yang mendukungnya.”

Katanya, PH kemudiannya tumbang secara demokrasi selepas sekumpulan Ahli Parlimen yang insaf “kembali ke pangkal jalan” bagi menyelamatkan negara.

Tetapi beliau mendakwa pandemik politiking gila untuk berkuasa semula masih berterusan dengan kumpulan tertentu melakukan pelbagai percubaan dan langsung tidak mempedulikan kebajikan rakyat.

Hadi berkata, Raja-raja Melayu tidak sepatutnya diheret berpolitiking kerana mereka mempunyai banyak tugas lebih penting daripada melayan kehendak individu “berpenyakit politiking” itu.

“Ada pula mereka yang masih tidak sedar dirinya sudah jadi pembangkang dan bukan lagi kerajaan dengan berlagak membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta.

“Kedua-dua pandemik tersebut menyusahkan rakyat. Sepatutnya pandemik Covid-19 ditangani dengan penuh penumpuan oleh semua pihak bagi menjaga nyawa seluruh rakyat yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

“Bahkan wajib bertolong-menolong kerana wabak ini tidak mengenal siapa, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.