PETALING JAYA: Seorang lelaki yang memakai gelang merah jambu kerana dipercayai positif Covid-19, mengadu penat dan sakit dada ketika ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Petani Utara, Kedah, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, lelaki berusia 38 tahun terbabit memaklumkan polis bahawa dia terpaksa memandu untuk ke hospital kerana tidak sanggup menunggu ambulans yang mengambil masa terlalu lama.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, lelaki terbabit memandu kereta Perodua Kancil untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
“Ketika anggota kita menahannya, lelaki terbabit berada dalam keadaan penat dan sakit dada. Dia tinggal bersendirian di Taman Kempas dan memandu sendiri untuk mendapatkan rawatan di HSAH.
“Dia sepatutnya menjalani kuarantin di rumah sejak tiga atau empat hari lalu,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beberapa anggota polis yang bertugas di SJR itu kemudiannya mengiringi kereta lelaki terbabit sehingga sampai ke HSAH.
Dalam perkembangan lain, Adzli memaklumkan terdapat 54 kenderaan diarahkan berpatah balik dalam tempoh 11 hingga 18 Julai lalu kerana cuba merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.
Katanya, tindakan kompaun turut dikenakan terhadap 16 individu manakala enam individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.