`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, July 5, 2021

Parlimen akan bersidang 5 hari mulai 26 Julai, kata PMO

 

PETALING JAYA: Parlimen akan bersidang untuk suatu “mesyuarat khas”, selama lima hari bagi Dewan Rakyat mulai 26 Julai manakala Dewan Negara pula selama tiga hari mulai 3 Ogos, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Dalam kenyataan hari ini, PMO memaklumkan kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid,” kata kenyataan itu.

Katanya, berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua- dua Majlis Parlimen.

Jelas kenyataan itu lagi, mesyuarat akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini,” kata Pejabat Perdana Menteri lagi.

Terdahulu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim, menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen untuk mengadakan persidangan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, iaitu sebelum 1 Ogos.

Dalam kenyataan bersama minggu lalu, Azhar dan Rais turut memaklumkan cadangan kepada perdana menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos sudah dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dewan Rakyat telah mengadakan beberapa mesyuarat bagi tiga penggal sehingga kini, dengan terakhir ialah Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Ketiga yang berlangsung dari 2 Nov-17 Dis 2020.

Mesyuarat terakhir Dewan Negara pula bagi Penggal Ketiga juga yang ketiga, berlangsung dari 16 Dis-29 Dis. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.