PETALING JAYA: Syakhir Razuan, seorang remaja yang sebelum ini begitu ceria dan sihat, tiba-tiba berubah menjadi individu pendiam selepas disahkan menderitai tumor saraf tunjang sejak tiga tahun lalu.
Sejak itu, anak bongsu daripada lima beradik berusia 20 tahun itu sering mengadu tidak mampu berjalan sempurna kerana kedua kakinya yang lemah dan sering kebas, selain mengalami masalah membuang air kecil dan besar.
Ketika diuji, remaja yang mesra dipanggil Akir ini sedang berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tanpa berlengah keluarganya merujukkan beliau kepada pakar neurologi di sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan, berdekatan tempat tinggal mereka.
Namun pihak hospital memaklumkan bahawa ia tidak boleh merawat Akir kerana kekurangan pakar dan sumber dan menasihatkan supaya Akir dirujuk ke hospital di ibu negara.
Kakaknya, Nurshazwani Razuanbe berkata, selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dengan beberapa hospital di ibu negara, Akir diterima untuk dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
Pembedahan Akir yang pertama pada 31 Ogos 2018 pada mulanya tampak sempurna dan berjalan lancar. Ketumbuhan di sekitar saraf tunjangnya berjaya dibuang.
“Selepas pembedahan, Akir mampu berjalan seperti biasa dan kesakitan yang dialami sebelum ini beransur hilang,” katanya kepada FMT.
Tumor kembali menyerang
Namun panas tidak sampai ke petang. Keluarganya reda apabila Akir diuji semula dengan penyakit sama apabila awal Julai lalu beliau mengadu kakinya kembali berasa kebas dan susah untuk membuang air kecil.
Nurshazwani berkata, tanpa berlengah keluarganya merujukkan semula Akir ke SJMC untuk pemeriksaan dan dimaklumkan bahawa tumor di saraf tunjang Akir semakin mengganas apabila doktor mengesahkan terdapat tumor aktif, “ependymoma” di sepanjang saraf tunjangnya.
Akir kembali bertarung nyawa di dewan pembedahan pada 8 Julai lalu untuk membuang tumor berkenaan, namun pembedahan kali ini agak mencabar.
“Pada 14 Julai, doktor maklumkan kepada kami bahawa hasil imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan ‘ultrasound’ selepas pembedahan berkenaan mendapati masih ada saki baki tumor dan lebih memilukan, tumor berkenaan dikesan di pangkal saraf tunjang, yang terletak di tengah dan bawah otak,” kata Nurshazwani, anak ketiga daripada lima adik beradik.
Selain itu, Nurshazwani berkata, mereka dimaklumkan oleh doktor bahawa masih terdapat enam ketul tumor di sepanjang saraf tunjang Akir dan menyarankannya melalui pembedahan kali ketiga.
“Ketika dapat tahu, Akir ada hubungi saya namun tanpa sebarang kata-kata, hanya tangisan menjadi penghubung antara kami pada waktu itu,” katanya yang tidak dapat melawat adik bongsunya di wad berikutan SOP pihak hospital semasa wabak Covid-19 kini.
RM60,000 kos pembedahan segera
Justeru, Nurshazwani berkata, beliau sekeluarga memohon bantuan kewangan untuk membiayai pembedahan segera adiknya berjumlah RM60,000.
Katanya, kos pembedahan dan rawatan yang mencecah hampir RM95,000 sebelum ini menyebabkan kad insurans Akir sudah tidak boleh digunakan kerana melebihi had penggunaan tahunan.
“Kami sekeluarga buntu mencari dana pembedahan sebanyak itu. Walaupun menerima sumbangan daripada kenalan, ia masih tidak mencukupi untuk menanggung kos keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, perniagaan kanopi ibu bapanya juga terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 menyebabkan keluarganya tidak mempunyai pendapatan dan terpaksa bergantung pada simpanan.
“Namun, simpanan kami juga makin lama makin susut dan pada masa sama perlu meneruskan rawatan untuk Akir supaya beliau dapat menjalani kehidupan normal seperti rakan lain,” luahnya. - FMT
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu Akir, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @0193899839.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.