`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, July 10, 2021

Warganet ‘serang’ Azmin di FB menteri Austria

 

Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali menemui rakan sejawatannya dari Austria, Margarete Schramböck di Vienna untuk membincangkan pelaburan dan perdagangan dua hala. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Warganet menyuarakan “kekecewaan dan kemarahan” terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali melalui catatan media sosial oleh seorang menteri Austria.

Menteri Digital dan Hal Ehwal Ekonomi Austria, Margarete Schramböck berkongsi di Facebook berhubung pertemuannya dengan Azmin semalam, mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Malaysia atas kunjungan hormat itu dan menyuara minat negara itu untuk bekerjasama rapat kelak.

Tetapi, rakyat Malaysia menggunakan bahagian komen di Facebooknya untuk mengkritik Azmin, yang menutup semua komen di akaun media sosialnya.

Warganet bersikap ramah dan hormat terhadap Schramböck, tetapi memberi amaran kepada wanita itu supaya berhati-hati dengan bekas timbalan presiden PKR itu.

“Harap anda dapat mengajar beliau atau membawanya ke negara anda selamanya,” tulis pengguna Facebook bernama Khairil Hazwan Hamzah.

Sathia Murthy turut memberitahu menteri Austria itu: “Beliau kini dalam krisis ‘tidak berumah’ dalam partinya sendiri dan beliau mempunyai kebolehan melompat – beliau mungkin melompat ke parti anda kelak.”

Fadly Bahktiar Othman berharap tiada hotel yang ditutup di Austria akibat kunjungannya di negara itu.

“Anda mesti berbesar hati menemui menteri terkenal dari negara kami,” tulis Sazali Amin sambil menambah: “Kes Covid-19 kami hari ini lebih 9,000, tertinggi setakat ini. Jika negara anda perlukannya, sila ambil beliau. Kami gembira jika anda berbuat demikian. Terima kasih.”

Qurratul Ain bagaimanapun berkata: “Menteri Austria ini mesti tertanya-tanya kenapa catatannya tiba-tiba tular.”

Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beberapa syarikat Austria menyuarakan hasrat untuk melabur di Malaysia disebabkan kedudukan strategiknya sebagai pintu masuk ke rantau Asia Pasifik.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, Azmin menemui Schramböck dalam misi perdagangan dan pelaburan di Vienna bagi meninjau bidang pertumbuhan pelaburan dan perdagangan dua hala. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.