`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, December 30, 2023

Subsidi kerajaan penting untuk perangi masalah kanak-kanak bantut, kata pakar

 

Menurut KKM, 498,327 kanak-kanak diklasifikasikan sebagai bantut, kebanyakannya disebabkan oleh keadaan sosioekonomi. (Gambar Envato Elements)

PETALING JAYA: Seorang pakar pemakanan berkata, kerajaan harus memberikan subsidi untuk membantu keluarga miskin membeli makanan berkhasiat untuk anak-anak mereka, menyatakan bahawa “meningkatkan kesedaran” sahaja tidak cukup untuk memerangi masalah kanak-kanak bantut dengan berkesan.

Pada 21 Dis, Senator RA Lingeswaran berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa 498,327 kanak-kanak diklasifikasikan sebagai bantut, kebanyakannya disebabkan oleh keadaan sosioekonomi.

Foo Leng Huat daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, bukan kekurangan pengetahuan tentang pemakanan berkhasiat yang menjadi penghalang bagi keluarga berpendapatan rendah, sebaliknya kekangan kewangan untuk membeli makanan berkhasiat.

“Kita sudah ada begitu banyak program untuk meningkatkan kesedaran tentang pemakanan berkhasiat. Tetapi (keluarga berpendapatan rendah) tidak mempunyai wang untuk membeli makanan yang berkhasiat dan seimbang,” katanya kepada FMT.

Foo Leng Huat.

“Ahli politik memberikan mereka makanan tambahan, namun hanya sekali sekala. Mungkin pada musim pilihan raya atau perayaan, berapa lama ia akan bertahan?”

Foo juga berkata, keluarga berpendapatan rendah kerap menghantar anak bawah usia lima tahun ke fasiliti penjagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar disebabkan kekangan kewangan. Bagi menangani isu ini, katanya, kerajaan juga harus menyediakan pilihan penjagaan kanak-kanak bersubsidi.

“Menyediakan perkhidmatan penjagaan anak untuk keluarga miskin boleh membantu mereka bukan sahaja dari segi pemakanan, tetapi juga pendidikan (untuk anak-anak mereka)” katanya.

Chen Seong Ting.

Seorang lagi pakar pemakanan, Chen Seong Ting daripada International Medical University berkata, kajian menunjukkan bahawa pembantutan pertumbuhan kanak-kanak membawa akibat yang meluas, memberikan kesan kepada perkembangan kognitif, pencapaian akademik, kesejahteraan psikososial, daya pengeluaran ekonomi dan kesihatan jangka panjang.

“Pertumbuhan dan perkembangan yang betul pada zaman kanak-kanak memerlukan zat makanan penting, dan kekurangan yang kronik boleh menyebabkan kelewatan pencapaian usia, fungsi organ terjejas, dan tulang yang lebih lemah.

“Tanda-tanda awal bantut termasuk pertumbuhan yang perlahan, berat badan berkurangan dan perkembangan yang lambat. Menangani kekurangan zat makanan memerlukan campur tangan secara individu, pengurusan pemakanan, dan pemantauan secara berkala,” katanya.

Selain inisiatif penjagaan kesihatan yang berterusan, zat tambahan dan program pendidikan, Chen berkata, penekanan yang lebih besar harus diberikan dalam menangani faktor penentu sosial yang menyumbang ke arah masalah bantut, terutamanya dari segi keterjaminan makanan.

“Penting untuk menggalakkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk kerajaan, NGO dan sektor swasta, untuk secara kolektif menangani isu kanak-kanak bantut disebabkan kekurangan zat makanan yang kronik,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.