`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, December 31, 2023

Sambut diiringi harapan

 

Amalan tradisi pada detik seperti ini ialah meluahkan ucapan tanda menyambut tahun baharu. Happy New Year istilah bahasa Inggeris yang lazim diucap semua. Bukan sahaja oleh orang Inggeris. Bolehkah Happy New Year diucapkan juga kali ini ? Untuk menyambut 2024?

Pertanyaan itu saya aju berdasarkan “ramalan” atau “jangkaan” Wong Chin Huat. Lebih tepat peringatan beliau. Bergelar professor, Wong ialah timbalan ketua (strategi) Pejabat Asia Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway.

Saya petik secebis daripada artikel beliau di Sinar Harian, walaupun beliau menulis dalam konteks lain serta topik yang berbeza. Pun begitu peringatan beliau berhubung tahun yang menjelang tiba ini wajar diberi perhatian.

Beliau berkata begini: “Ketika kita menyambut tahun baharu, kita harus ingat bahawa tahun 2024 mungkin membawa pelbagai krisis ke tanah air, daripada bencana alam semakin kerap berlaku kerana pemanasan sejagat dan pembinasaan alam sekitar yang lain, kenaikan harga akibat peperangan di Timur Tengah dan Eropah Timur malah permulaan kepada kehilangan pekerjaan kerana kepintaran buatan (AI).”

Menakutkan? Membimbang dan merunsingkan? Tentu sekali. Lantas bagaimana mahu ucap Happy New Year? Happy bererti bahagia dan gembira. Jadi apa yang happy apabila peringaan tadi diambil kira? Peringatan yang pada hemat saya memang logik.

Mungkin Happy New Year diucap dengan membawa harapan kebahagiaan akan menjelma seiring ucapan itu. Jika begitu lebih tepat diucapkan dalam bahasa Melayu yakni Selamat Tahun Baharu agar semua selamat menikmati baik dan bagus sepanjang tahun mendatang . Ucap selamat bagai doa agar harapan untuk kebahagiaan dan kesenangan yang dibawa akan direalisasikan.

Oleh itu ucapan tahun baharu bagi saya molek begini. Mengharap tahun baharu ini selamat membawa keamanan di Eropah Timur. Harapan besar keganasan dan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin berakhir.

Semoga mereka selamat dan Gaza dapat menikmati keamanan. Semoga bumi Palestin bebas. Harapan juga agar pelarian di merata dunia dilindungi dan isu mereka ada penyelesaiannya .

Ucapan selamat juga membawa harapan bencana alam dihindari. Mengharap dunia ini selamat buat semua. Selamat juga daripada wabak penyakit yang melanda seperti Covid-19 dulu. Diharap virus itu yang masih ada tidak lagi membawa kemudaratan .

Pasti ada harapan buat tanah air. Mengharap negara diselamatkan daripada bencana alam dan bencana ekonomi. Rakyat sejahtera dan selamat dan tidak dibebani pelbagai kesusahan, kerumitan juga penderitaan.

Agar selamat menikmati penurunan harga barangan keperluan dan selamat menyaksikan kos sara hidup yang tidak lagi membebankan.

Harapan juga negara selamat daripada krisis politik yang merugikan setiap lapisan masyarakat. Merugikan negara keseluruhan. Selamat juga diharapkan daripada tindakan politikus rakus dan tamak kuasa. Diharapakan demokrasi diselamatkan, terus segar dan sistem mendaulatkan suara rakyat diperkukuhkan.

Juga membawa harapan keadilan, kesaksamaan dijalin dengan selamatnya. Begitu juga selamat daripada gejala rasuah dan pecah amanah.

Harapan anak-anak mendapat pembelajaran dan pendidikan baik untuk masa depan mereka, buat kebahagian ibu bapa mereka dan kecemerlangan negara. Diharap diselamatkan negara daripada politik perpecahan dan perkauman yang membinasakan.

Sememangnya ada beribu harapan yang kita mahu selamat terjalin. Boleh kah ia dicapai? Atau harapan tinggal harapan? Selamat tidak membawa selamat?

Ini membawa harapan agar rasa positif,yakin dan optimis dapat dimiliki. Supaya semua selamat tidak berputus asa walaupun keadaan mungkin tidak memberangsangkan dan mendorong putus asa .

Adakah cahaya di hujung terowong? Harapan kita segala kegelapan selamat diterangi. Yakin kah kita? Ada harapan kah harapan kita selamat dikecapi? Ada. Kena yakin. Kena optimis. Kerana PAS pun dah boleh ucap Selamat Hari Krismas. Bukankah itu sebab untuk jadi optimis?

Buat semua diucapkan Selamat Tahun Baharu 2024.  - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.