`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, December 30, 2023

10,000 mangsa banjir di 4 negeri

 

Keadaan Kampung Bendang Pak Yong di Tumpat, Kelantan yang masih digenangi air ekoran limpahan Sungai Golok hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri berkurangan kepada 10,000 orang di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam tadi berbanding 10,895 orang di 41 PPS petang tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 9,667 orang di 27 PPS berbanding 10,354 orang di 29 PPS pada petang.

Menurut laporan itu, 27 PPS dibuka di empat daerah Kelantan merangkumi 12 di Pasir Mas yang menempatkan 6,347 orang daripada 1,894 keluarga, 10 di Tumpat (2,842 orang daripada 987 keluarga), dua di Jeli (411 orang daripada 103 keluarga) dan tiga di Kuala Krai (67 orang daripada 16 keluarga).

Di Terengganu, jumlah mangsa turut berkurangan kepada 148 orang daripada 44 keluarga di tiga PPS berbanding 354 orang daripada 97 keluarga di lima PPS di Dungun dan Kuala Terengganu petang tadi.

Di Johor, 54 orang daripada 14 keluarga kekal di dua PPS di Segamat malam ini.

Di Pahang, mangsa banjir di lima PPS merangkumi Bera, Maran dan Temerloh turut mencatatkan penurunan kepada 131 orang daripada 36 keluarga berbanding 133 orang daripada 37 keluarga petang tadi.

Laporan itu turut memaklumkan jumlah mangsa akibat tanah runtuh di Cameron Highlands kekal 87 orang daripada 17 keluarga di sebuah PPS di daerah itu.

Tinjauan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiga sungai di Kelantan, iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Golok di Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Kota Bharu di paras bahaya setakat 8 malam tadi.

Turut berdepan situasi sama ialah Sungai Buloh, Sungai Klang, Sungai Selangor, Sungai Perak dan Sungai Arau.

Laporan itu juga menyebut 44 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak/runtuh dan tanah runtuh.

Antaranya, Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat (Johor), Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjong (Kelantan), Jalan Marang-Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Jugra di Selangor. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.