`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 24, 2024

Peniaga Jalan Masjid India boleh operasi hari ini, kata datuk bandar

 

Free Malaysia Today
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif menasihatkan peniaga di Jalan Masjid India berhati-hati, walaupun mereka boleh beroperasi seperti biasa hari ini.

PETALING JAYA
Operasi perniagaan di Jalan Masjid India boleh dijalankan seperti biasa hari ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif.

Menurutnya, pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat di sekitar lokasi wanita warga India yang terjatuh ke lubang benam sedalam 8m akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India semalam mendapati kawasan itu selamat.

Perniagaan di sini akan beroperasi seperti biasa (hari ini) tetapi mereka (peniaga) dinasihatkan berjaga-jaga,
 katanya menurut Bernama malam tadi.

Beliau berkata, rungutan peniaga berhubung beberapa kejadian mendapan tanah di kawasan itu dalam pemerhatian dan tindakan pihaknya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hanya menemui sepasang selipar milik mangsa berusia 48 tahun dekat lokasi lubang benam selepas hampir 17 jam operasi SAR.

Katanya, operasi SAR terpaksa ditangguhkan 12.30 tengah malam tadi dan akan disambung 9 pagi ini susulan hujan lebat dan persekitaran gelap, arus deras serta terdapat gas selain air kumbahan yang boleh membahayakan unit skuba.

Walaupun lokasi sekitar masih selamat dilalui, beliau menasihatkan orang ramai mengurangkan pergerakan di kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Mohamad Hamim berkata pemantauan sentiasa dijalankan di kawasan terbabit dan mendapan berlaku sebelum ini tidak melibatkan kehilangan nyawa atau harta benda.

Pemantauan dan penyelenggaraan dilakukan secara berterusan.

Terdahulu, peniaga di sekitar lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India mahu pihak berkuasa melakukan pemantauan berterusan di sana dan mengambil tindakan sewajarnya kerana kes itu bukan julung kali berlaku. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.