`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 25, 2024

Umno dan media sosial

 

hishamuddin-aun

Dr Azam Rauzan, dalam membahasakan dirinya bekas Adun cabuk dan pemimpin kecil dari Umno cawangan Presint Jasa, Skudai, Johor tampil antara contoh seorang ahli Umno yang tidak jemu-jemu memperjuangkan parti dan mempertahankan institusi presiden.

Siri temu bualnya melalui media sosial yang mencakupi pelbagai isu kepentingan parti tidak henti-henti menemui warganet dengan penjelasan, kupasan, dan kesimpulan dalam menangkis pelbagai fitnah dan serangan, terutama terhadap Presiden Zahid Hamidi. Tidak hairanlah jika mantan Adun Penawar (2004-2008) ini ditakrifkan sebagai ‘orang presiden’.

Cuma, Azam hanyalah seorang daripada segelintir yang menyanggupi berbuat demikian. Ke mana pergi yang lain-lain yang lebih memilih untuk menjadi penonton dan pendengar berbanding mencipta ‘content’. Barangkali keadaan ini akan berubah untuk menjadi lebih ‘meriah’ selepas ini dan diharapkan Azam tidak melihatnya sebagai peluang untuk memberi laluan kerana statusnya sebagai pempengaruh terus diperlukan.

Dalam tempoh hanya tiga bulan, kesedaran Umno terhadap penggunaan optimum media sosial sudah meningkat daripada ‘perlu memanfaatkannya’ kepada ‘lebih agresif penggunaannya’ kini. Di sebalik masih merangkak-rangkak, sekurang-kurangnya sudah ada usaha lebih menyeluruh ke arah itu berbanding ‘bercakap tapi tak buat’ sebelumnya.

Dibandingkan dengan pendekatan pembangkang — Perikatan Nasional (PN) — Umno tidak harus marah jika pergerakannya dikatakan terlalu lembab tapi kelambatan itu lebih baik daripada tiada langsung usaha sedemikian. Hanya tiga bulan lalu, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman mengumumkan parti itu akan melipatgandakan usaha memperkasakan jentera penerangannya di setiap peringkat bagi memastikan imej parti dan Barisan Nasional (BN) terus kukuh.

Kita tidak boleh pergi perang kalau tidak mempunyai kemahiran. Antara kemahiran yang kita perlu ada di setiap bahagian ialah kemahiran media sosial. Semua orang tahu TikTok, semua orang tahu Facebook, semua orang tahu Twitter, betul… tapi bagaimana nak gunakannya untuk memperkasakan parti,
 katanya pada majlis pelancaran Jelajah Penerangan Umno di ibu negara pada 14 Mei.

Berselang tiga bulan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur kelmarin, Azalina berkongsi bahawa parti itu kini lebih agresif dalam media sosial sebagaimana terbukti dengan kejayaan dalam PRK Nenggiri pada 17 Ogos.

Kalau kita tengok daripada pilihan raya negeri dulu dan pilihan raya kecil, media sosial memainkan peranan yang begitu positif. Kita juga melihat beberapa kejayaan daripada respons Umno negeri dan Umno bahagian yang mempunyai pendekatan mereka sendiri. Banyak kepimpinan hari ini dah boleh jadi pempengaruh,
 katanya.

Satu kajian Kajidata pada Julai 2023 menggunakan sampel rawak 1,082 responden mendedahkan bahawa 71% rakyat menggunakan aplikasi WhatsApp setiap hari diikuti oleh Facebook (51%), TikTok (49%), Instagram (45%), dan X (sebelumnya Twitter) pada kadar 30%.

Penasihat Kajidata Profesor Syed Arabi Idid berkata penggunaan Internet juga didapati secara meluas, dengan 61% responden melaporkan aktiviti dalam talian sepanjang minggu. Zaman digital, tambahnya, memencilkan lagi media cetak, dengan hanya 20% terlibat dengan media cetak sepanjang minggu.

Penasihat Kajidata Haris Ismail menambah penemuan itu menegaskan hakikat bahawa media sosial digunakan secara meluas untuk mempengaruhi orang ramai, termasuk oleh parti politik, yang jelas dalam pilihan raya enam negeri pada Ogos 2023 dengan parti-parti politik memperhebatkan kehadiran mereka secara dalam talian.

Sebagai melanjutkan perbincangan, penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Sara Chinnasamy berkata faktor pertambahan pengundi muda ketara menjadikan platform media sosial muncul sebagai platform paling signifikan dalam usaha memikat hati pengundi.

Hampir semua calon (dalam PRU15) menggunakan TikTok untuk mendekati generasi muda khususnya yang berusia 18 tahun yang bakal mengundi. Ini meningkat bersama meningkatnya pengundi muda seperti tahun 2008 (500,000), 2013 (1.3 juta) dan 2018 (6.1 juta). Angka ini akan meningkat sehingga 10 juta bagi pengundi muda dan kali pertama,
 katanya.

Jika diimbau kembali, Umno sepatutnya sudah jauh ke hadapan dalam memanfaatkan media sosial, sebaliknya ketinggalan. Pada 2016 lagi, Zahid sudah menyarankan agar Umno dan BN berhenti bersikap defensif, sebaliknya perlu menggunakan pendekatan ofensif dalam media sosial supaya rakyat tidak terkeliru dengan fitnah yang dibuat pelbagai pihak.

Zaman ini, zaman media sosial, zaman langit tanpa sempadan, ada 30 juta rakyat dengan 35 juta telefon bimbit kerana ada yang mempunyai lebih daripada satu. Ini gelombang baru, jika kita tidak menghadapinya, kita akan tenggelam. Ini zaman untuk kita bangkit, sekarang masa untuk menyerang dan bercakap benar, demi untuk mengukuhkan kerajaan,
 katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Padang Terap di Kuala Nerang pada 4 Sept 2016.

Berbanding menjadi perintis, Umno sebaliknya dikerah meminjam taktik Pakatan Harapan (PH) — sebelum PRU14 — dengan hasrat menggunakan media sosial secara besar-besaran bagi mendesak kerajaan baharu jadi jujur sambil mengharapkan Umno meski sebagai pembangkang ketika itu akan terus kekal relevan dalam kalangan rakyat.

Di sebalik masa yang panjang diperlukan untuk Umno mengoptimumkan penggunaan media sosial, ucapan Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tebrau 26 Julai lalu wajar menjadi isyarat bertindak.

“Cara lama sudah tidak lagi relevan dan gerak kerja jentera parti perlu mengikut kesesuaian serta keperluan semasa (menghadapi PRU16). Kita harus lihat semula pendekatan kita. Gunakan pendekatan baharu, pertamanya menerusi media sosial.

Kalau saya bercakap dalam dewan ini hanya 600 atau 700 perwakilan yang dengar. Tapi kalau buat dalam media sosial, keluar secara live, 100,000 orang akan lihat. Bukan sahaja 100,000 orang tapi satu atau dua juta orang akan lihat asalkan kita jadi pempengaruh dan mesti ada kandungan yang baik,
 katanya.

Namun, di sebalik saranan Azalina supaya Umno menguasai media sosial, bahan yang akan disajikan parti itu tidak boleh hanya memuatkan rakaman ucapan panjang yang membosankan, sebaliknya lebih kepada klip-klip pendek yang lebih fokus untuk menjawab isu atau sedutan jawapan yang lebih menarik perhatian.

Biro penerangan Umno perlu mengendalikan kursus dengan bimbingan pakar terhadap bentuk ‘content’ yang boleh tular dan mendapat jumlah tontonan tinggi.

Tularnya sesebuah hantaran atau video di media sosial bergantung kepada strategi yang betul, sekali gus membawa capaian yang lebih menyeluruh kepada kumpulan sasaran. Ada masanya kita boleh membuat interpretasi dari segi viral, sejauh mana ia beri penekanan mendalam terhadap satu-satu isu. Elemen kreativiti ini yang boleh mempengaruhi minda dan hati pengundi muda, parti politik kena bergerak sehaluan dengan perkembangan teknologi semasa,
 kongsi Sara Chinnasamy.

Selepas lama bertangguh-tangguh, Umno tidak mampu untuk terus menghambat dalam perebutan jumlah tontonan di media sosial atau akan terus ketinggalan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.