`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, September 3, 2024

Tak praktikal, bahaya terus guna kapal tua, kata pakar

 

kd pendekar
Kapal KD Pendekar tenggelam selepas mengalami kebocoran susulan terlanggar objek bawah air di perairan Johor pada 25 Ogos lalu. (Gambar X)

PETALING JAYA
Pakar menyuarakan kebimbangan terhadap amalan terus menggunakan kapal tua oleh TLDM yang disifatkan tidak praktikal malah tidak selamat.

Pakar hal ehwal maritim dan undang-undang, Salawati Mat Basir, berkata penyelenggaraan berterusan kapal seperti itu adalah ‘amalan tidak praktikal dan tidak dapat dilaksanakan.’

Negara lain seperti Indonesia memiliki armada terkini, sedangkan kita mahu kekal menggunakan armada yang berusia 40 tahun,
 katanya kepada FMT.

Katanya, kapal tentera laut lazimnya mempunyai jangka hayat antara 20 hingga 25 tahun, dan selepas itu sewajarnya digantikan untuk memastikan terus seiring perkembangan arus teknologi.

Sebagai negara maritim, Malaysia memerlukan teknologi terkini dan kapal yang dapat memastikan kecekapan pengoperasian serta keselamatan,
 katanya.

Salawati mengulas kejadian kapal TLDM, KD Pendekar yang mengalami kebocoran selepas terlanggar objek bawah air sebelum tenggelam di perairan Johor pada 25 Ogos lalu.

Susulan kejadian itu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pemeriksaan akan dilaksanakan terhadap kapal TLDM laut yang berusia lebih 40 tahun untuk memastikan masih berkeadaan baik.

Difahamkan, satu pertiga kapal TLDM termasuk dalam kategori itu.

Khaled berkata KD Pendekar beroperasi sejak 1979, bererti usianya 45 tahun. Beliau bagaimanapun menafikan usia kapal itu sebagai punca kejadian.

Ini bukan kali pertama usia kapal Malaysia dipersoal. Tahun lalu, Sultan Selangor menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan armada kapal TLDM.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa semua aset berusia digantikan bagi memastikan perairan negara sentiasa dilindungi dan TLDM dalam keadaan siap siaga.

Sementara itu, Salawati berkata bukan sesuatu yang biasa untuk kapal seperti KD Pendekar tenggelam memandangkan lazimnya dilengkapi sistem sonar.

Ini membayangkan keadaan haus dan lusuh menjadi faktor yang menyumbang kepada tenggelamnya kapal itu,
 katanya.

Pakar pertahanan Mizan Aslam turut senada dengan Salawati dan memberi amaran kemungkinan tidak selamat mengoperasikan kapal melebihi 25 tahun.

Kita mempunyai 10 hingga 15 kapal berusia lebih 40 tahun yang dianggap agak tua. Kapal berkenaan memerlukan pemeriksaan menyeluruh kerana kita tidak boleh mempertaruhkan nyawa anggota tentera laut kita,
 katanya.

Mizan mencadangkan supaya Malaysia menggunakan hubungan baiknya dengan negara seperti Turki, China, Rusia dan negara Eropah untuk menyewa aset maritim buat sementara waktu bagi memastikan mempunyai kapasiti dan keupayaan melindungi perairannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.