`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 20, 2024

Dana mencurah tapi FAM mengecewakan

 

hishamuddin-aun

Di sebalik kedudukan sebagai sebuah persatuan sukan kebangsaan (national sports association atau NSA) paling bertuah dilimpahi dana kerajaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tertonjol sebagai memberikan pulangan pelaburan yang tidak pun setimpal sejauh ini.

Berselindung di sebalik tiadanya Indeks Prestasi Utama (KPI) yang jelas lagi mencabar pada masa lalu, rentetan kegagalan pasukan utama dan pelapis kebangsaan seolah-olah disapu ke bawah hamparan. Tapi mungkin tidak lagi selepas ini.

Tiba masanya FAM perlu bersikap lebih terbuka terhadap justifikasi wang pembayar cukai yang diterimanya sambil badan induk itu dituntut agar menetapkan sasaran dalam setiap kejohanan yang disertai Harimau Malaya dan pasukan pelapis kebangsaan mengikut KPI sepatutnya.

Harus tidak juga keterlaluan untuk KPI diwujudkan bagi barisan eksekutifnya kerana habuan besar yang diperolehi — seperti amalan di syarikat-syarikat swasta — sepatutnya diikat dengan sasaran tertentu yang perlu dicapai baik secara individu mahupun berkumpulan.

Cara itu akan mengerah lebih pertanggungjawaban dalam kalangan pemegang jawatan utamanya daripada menjaga hati ahli badan gabungan yang akan mengundi mereka kekal dalam pemilihan kongres FAM setiap tiga tahun sekali.

Sebagai persatuan yang menaungi sukan nombor satu diminati rakyat, tentulah FAM dilihat istimewa berbanding sukan lain di sebalik NSA berkenaan melahirkan lebih ramai juara dunia dan sering mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Jika boleh dipinjam sistem handicap dalam golf di mana pemain paling kurang daripada segi keupayaan dan kemahiran mendapat ‘bantuan’ tertentu bagi mengimbangi jurangnya dengan pemain lain, FAM juga tergolong sedemikian rupa dengan hanya gah daripada segi ikutan ramai dan publisiti tapi hujung-hujungnya kekal di takuk lama.

Dalam pada itu, ia tidak menghindarkan badan induk bola sepak itu daripada dilihat sebagai paling mewah daripada segi aliran tunai sekalipun kejayaan pasukan kebangsaannya adalah tandus dan jauh di antara satu sama lain.

Hingga ke hari ini pun, bola sepak Malaysia masih berkisar kepada penanda aras zaman dinosaur — dua kali layak ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972 dan Moscow pada 1980 yang bagaimanapun diboikot. Pingat tertinggi yang dicapai pula adalah gangsa dalam Sukan Asia Tehran 1974 — malangnya tidak diangkat dan dijulang setinggi kejayaan dua kali ke Olimpik itu.

Sepanjang lima tahun kebelakangan sejak 2020, FAM menerima suntikan dana kira-kira RM47.5 juta — satu jumlah cukup besar dibandingkan dengan persatuan sukan lain.

Dari mana datangnya dana berkenaan? RM10 juta daripada kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri ke-9 Ismail Sabri Yaakob pada 2022, RM17.5 juta daripada geran tahunan Fifa dari 2016-2022 berjumlah RM35 juta dengan purata RM5.83 juta setahun, RM5 juta daripada kerajaan selepas kejohanan Piala Asia 2023, dan terbaru RM15 juta lagi seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim 3 Sept lalu.

Bandingkan dana berkenaan dengan pencapaian skuad kebangsaan sepanjang lima tahun lalu. Malaysia gagal memenangi pingat dalam tiga Sukan SEA berturut-turut — temasya Filipina 2019, Vietnam 2021, dan Kemboja 2023, dengan kali terakhir pingat emas diraih di temasya Indonesia 2011.

Dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pula, satu-satunya kejuaraan yang dimenangi ialah pada 2010. Ini membuat kedua-dua kejayaan peringkat serantau itu — berlangsung dua tahun sekali secara berselang di antara dua kejohanan utama itu — terasa seperti sudah zaman-berzaman lamanya.

Sedikit sagu hati ialah kejayaan Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit, dengan tempoh lebih sedikit daripada empat dekad itu harus menyedarkan betapa lamanya kita sudah tertinggal di belakang.

Hairannya ramai pula yang terus dikhayalkan oleh kejayaan silam hingga menutup ruang kepada sebarang kritikan sama ada terhadap Harimau Malaya mahupun FAM. Perbuatan demikian mudah mereka sama ertikan dengan bersikap tidak patriotik atau mahu membunuh perkembangan bola sepak negara.

Tentunya ini berlawanan dengan aspirasi bahawa bola sepak Malaysia bukan hanya milik seorang atau dua ‘minda bola sepak terbaik’ di dalam negara, sebaliknya kegagalannya turut dideritai oleh setiap peminat yang berbaris panjang untuk masuk ke stadium bagi memberi sokongan bersemangat setiap kali Harimau Malaya turun beraksi di laman sendiri.

Kerana itu, tuntutan perdana menteri supaya FAM menyediakan pelan perancangan dan KPI bagi memastikan peningkatan lanjut Harimau Malaya — terbaru sudah mendaki ke tangga ke-132 dalam ranking dunia — adalah sesuatu yang dialu-alukan sebagai balasan kepada komitmen kerajaan memperuntukkan RM15 juta untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan.

Dengan peruntukan itu — RM10 juta dari kerajaan manakala RM5 juta lagi komitmen pihak swasta — Anwar mahu menunjukkan kepada pengurusan tertinggi FAM yang ditemuinya pagi semalam bahawa perlunya lebih kesungguhan andai Harimau Malaya mahu dipastikan berada di landasan betul.

Jauh daripada bersifat ia satu ganjaran — kalau ganjaran untuk kejayaan apa? — ia lebih kepada satu rangsangan tanpa FAM boleh mengambil mudah atau bermewah-mewah kerana ia akan dipantau oleh Kementerian Kewangan serta Kementerian Belia dan Sukan.

FAM tidak harus berlengah membentangkan pelan perancangannya dan menetapkan KPI buat skuad kebangsaan dalam tiga kejohanan terdekat — Kejohanan AFF yang meletakkan Harimau Malaya dalam Kumpulan A bersama Thailand, Singapura, Kemboja dan Brunei dari 9 Dis 2024-5 Jan 2025, pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 Mac depan, dan Sukan SEA 2025 Thailand.

Tidak cukup hanya FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen perdana menteri dalam memberikan peruntukan itu, sebaliknya prestasi pasukan kebangsaan juga hendaklah setimpal dengan dana yang diterima.

Ia juga akan membantu jika barisan kepemimpinan FAM — presiden dan setiausaha agung tidak terkecuali — dapat turut berkongsi KPI ke atas mereka sendiri. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.