`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 14, 2024

Mangsa banjir di Perak, Pahang terus meningkat

Free Malaysia Today
Keadaan banjir di Perak semakin buruk apabila mangsa terus meningkat kepada 625 orang daripada 188 keluarga berbanding 268 orang daripada 85 keluarga malam tadi. (Gambar Facebook APM)

PETALING JAYA

Jumlah mangsa banjir di Perak dan Pahang menunjukkan peningkatan, manakala Melaka menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

Keadaan banjir di Johor pula kekal dan jumlah mangsa banjir di Kedah mengalami penurunan pagi ini.

Di Melaka, beberapa kawasan di Jasin dilanda banjir pagi tadi susulan hujan lebat pada awal pagi tadi.

Beberapa penduduk di kawasan Ayer Molek, Serkam dan Merlimau dilaporkan terpaksa berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air, lapor Harian Metro.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kamarulsyah Muslim berkata, setakat 8 pagi ini, pihaknya masih mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terjejas.

Di Perak, keadaan banjir semakin memburuk apabila mangsa terus meningkat kepada 625 orang daripada 188 keluarga berbanding 268 orang daripada 85 keluarga malam tadi. Mangsa-mangsa kini berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang terletak di tiga daerah iaitu Kerian, Kuala Kangsar, dan Hulu Perak, lapor Bernama.

Sekretariat JPBN memaklumkan di Hulu Perak, lima PPS baharu dibuka malam tadi apabila mangsa meningkat kepada 172 orang daripada 59 keluarga yang berlindung di enam PPS iaitu di SMK Sultan Idris Shah II, SK Plang, SK Kerunai, SMK Kenering, Dewan Kg Padang Jeri dan SK Pahit.

Di Kuala Kangsar pula mangsa meningkat kepada 342 orang daripada 94 keluarga yang berlindung di tiga PPS iaitu SMK RLKT Lasah, SK Lasah serta Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Sungai Siput,

 menurut sekretariat itu.

Mangsa banjir di Kerian juga meningkat kepada 111 mangsa daripada 25 keluarga yang berlindung di di PPS SK Changkat Lobak dan PPS SK Parit Haji Aman.

Di Pahang, bilangan mangsa banjir di Temerloh meningkat kepada 98 orang daripada 25 keluarga yang berlindung di empat PPS setakat 7.30 pagi berbanding 66 mangsa banjir daripada 18 keluarga yang ditempatkan di dua PPS semalam.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat SK Lanchang dan Balairaya Mempateh masing-masing kekal menempatkan 36 dan 30 mangsa banjir seperti semalam manakala dua PPS yang baharu dibuka Masjid Kampung Bongsu menempatkan 19 individu dan seramai 13 orang dipindahkan ke Dewan SM Seri Semantan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) Sarawak: Sibu, Mukah (Matu dan Dalat) dan Kapit (Song dan Kapit) sehingga 12 tengah hari ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kekal dengan 200 orang penduduk daripada 63 keluarga di tiga daerah pada pukul 8 pagi, yang melibatkan Kluang, Kulai dan Batu Pahat.

Pengerusi JPBN Azmi Rohani berkata seramai 101 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke PPS di Kluang, 33 mangsa daripada 19 keluarga di Kulai dan 16 mangsa daripada tiga keluarga di Batu Pahat.

Menurut beliau, empat PPS masih beroperasi iaitu di SK Seri Kampung Renggam dan SJKC Layang-Layang di Kluang, Dewan Kampung Murni Jaya di Kulai serta di SK Seri Bunut di Batu Pahat

“Sungai Ayer Hitam di Kampung Paya Embun di Pontian berada pada paras waspada, begitu juga Sungai Sembrong di Batu 2 Sembrong di Batu Pahat dan Empangan Sembrong juga berada pada paras waspada.

Pada pagi ini semua daerah dilaporkan hujan kecuali Johor Bahru dan Mersing berada dalam keadaan cerah,

 katanya dalam satu kenyataan.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,257 orang daripada 726 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,312 orang daripada 709 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata semua mangsa dari lima daerah iaitu Kota Setar, Baling, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena itu ditempatkan di 21 PPS.

Baling mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 904 orang daripada 314 keluarga ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Kota Setar (710 orang, 224 keluarga) di lapan PPS, Pendang (503 orang, 137 keluarga) di dua PPS, Kubang Pasu (86 orang, 31 keluarga) di satu PPS, manakala di Pokok Sena seramai 54 orang daripada 20 keluarga ditempatkan di satu PPS,

 katanya dalam kenyataan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.