`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 13, 2024

Belanjawan 2025: Tingkat daya saing syarikat pelancongan Bumiputera, seru persatuan

 

melaka
Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia jangka pelancongan domestik akan memainkan peranan penting dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA
Sebuah persatuan pengusaha mahu daya saing syarikat pelancongan Bumiputera dipertingkatkan, terutama bagi arena pelancongan domestik yang akan memainkan peranan penting dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Seiring jangkaan itu, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) menyarankan kerajaan memberi galakan kepada syarikat Bumiputera yang aktif mempromosi pakej pelancongan domestik.

Selain itu, kerajaan digesa menetapkan kuota syarikat yang dilantik dalam tempahan tiket perjalanan kerajaan, bagi mengoptimumkan peranan syarikat Bumiputera dan membuka ruang yang saksama untuk persaingan.

Kesaksamaan ekonomi perlu dilakukan bagi memastikan Bumiputera tidak ditinggalkan dalam pembahagian kek ekonomi,
 kata Presiden Bumitra Wan Muhamad Adam Wan Nurudin kepada FMT, menjelang pembentangan Belanjawan 2025 minggu depan.

Dalam pada itu, kerajaan diminta tumpu pada pembangunan prasarana pelancongan yang lestari dan mesra alam di destinasi utama seperti perkampungan budaya di setiap negeri, dan mengenal pasti penempatan tradisi dalam kawasan Felda dan Felcra yang boleh diangkat untuk eko-pelancongan.
Penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek pembangunan ini amatlah digalakkan bagi memastikan pemain industri tidak ketinggalan dalam pelancongan ‘inbound’ dan domestik,
 katanya.

Melangkaui pelancongan domestik, Bumitra menyeru pelancongan mesra Muslim diperhebatkan dengan insentif khas bagi penyedia perkhidmatan yang berkaitan, di samping Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islamik kepada negara luar.

Menurut Wan Adam, pelancong dari negara-negara Arab lebih tertarik kepada Indonesia sebagai destinasi pelancongan Islamik.

Untuk meningkatkan persaingan dalam kalangan pemain, Bumitra mencadangkan kerajaan menyediakan geran khas atau insentif kewangan bagi mengalakkan penggunaan teknologi berasaskan kecerdasan buatan untuk memahami trend dan permintaan industri, oleh syarikat pelancongan Bumiputera sejajar usaha pendigitalan.

Kerajaan juga diharap melaksanakan program latihan dan pembangunan kapasiti untuk melatih lebih ramai tenaga kerja Bumiputera dalam teknologi digital, di samping pengurusan pelancongan dan khidmat pelanggan.

Ia termasuk penyediaan latihan bagi melatih pemandu pelancong yang berkemahiran dalam ‘story telling’ yang berkaitan dengan pelancongan,
 katanya.

Bumitra turut mencadangkan kerajaan mewujudkan skim pembiayaan mudah atau jaminan pembiayaan bagi membantu usahawan Bumiputera mengembangkan operasi perniagaan tanpa dibebani oleh syarat pembiayaan yang ketat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.