Pelan damai atau pelan kompromi yang jadi daya usahanya atas dorongan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) seperti dikongsikannya Julai lalu bagi menurunkan suhu dalam parti menjelang pemilihan berkenaan sebaliknya lebih membawa kepada percanggahan berbanding permuafakatan yang diinginkannya.
Terbaru, seorang lagi calon kepimpinan tampil menafikan dirinya ingkar terhadap parti kerana tidak menuruti ‘petua’ Muhyiddin berhubung proses pemilihan, sebaliknya mahu bertanding jawatan naib presiden untuk menyuburkan amalan demokrasi dalam parti.
Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin pada Jumaat berkata beliau menawarkan diri kerana layak bertanding mengikut perlembagaan dan syarat parti di samping beranggapan pemilihan Bersatu bersifat kekeluargaan dan tidak akan menyebabkan perpecahan seperti dibimbangkan oleh MPT.
Ini menyusuli kenyataan seorang lagi calon naib presiden Rafiq Abdullah — Timbalan Ketua Bersatu Selangor — yang menafikan wujud ‘petua’ oleh presiden supaya tiada pertandingan bagi jawatan naib presiden yang difahaminya cuma bermaksud kepada jawatan presiden dan timbalan presiden.
Dari mana datangnya ‘petua’ hingga boleh menimbulkan tanggapan ingkar itu?
Berucap dalam konvensyen Bersatu pada 13 Julai lalu, Muhyiddin memberitahu perwakilan bahawa kepimpinan tertinggi parti sudah melakukan rundingan menerusi apa yang ditakrifkan suatu ‘pelan kompromi’ membabitkan beliau sendiri sebagai ‘orang tengah’ bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.
Menghuraikan hasil rundingan itu dalam sidang media pada petang hari yang sama, Muhyiddin berkata selain beliau sendiri terus memimpin parti, ia merangkumi kenaikan pangkat untuk Hamzah Zainudin daripada jawatan setiausaha agung ke jawatan timbalan presiden. Kekosongan jawatan setiausaha agung ditawar kepada Azmin Ali. Ia dilihat menghindarkan pertembungan Hamzah-Azmin bagi jawatan nombor dua seperti diramalkan ramai.
Penyandang timbalan presiden, Ahmad Faizal Azumu, pula bersetuju berundur setapak untuk merebut satu daripada tiga jawatan naib presiden selain penyandang Radzi Jidin dan Ronald Kiandee. Kebetulan wujud satu kekosongan bagi jawatan itu selepas penyandangnya Rafiq Naizamohidden keluar Bersatu pada 2022.
Perkiraan sebegitu harus menepati pelan untuk mengelakkan pertandingan bagi lima jawatan utama dengan membiarkan perebutan hanya untuk 20 kerusi ahli MPT.
Dalam pada itu, Muhyiddin mungkin menyanggahi kata-katanya sendiri apabila menjelaskan:
Saya tak kata (yang lain) tak boleh (bertanding). Kalau ada antara kalangan mereka masih lagi berhasrat untuk bertanding itu adalah hak mereka tapi untuk memberikan sedikit harapan supaya kesemua jawatan itu dapat kita susun lebih awal supaya suhu kempen tidak terlalu panas.
Pengumuman Jawatankuasa Pemilihan Bersatu pada 4 Okt menunjukkan pelan kompromi itu hampir mencapai matlamat sepenuhnya apabila Muhyiddin dan Hamzah disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dan dua.
Bagaimanapun, selain Faizal atau dikenali sebagai Peja, Kiandee dan Radzi, tiga calon lain Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Rafiq dan Aziss turut serta dalam perebutan tiga kerusi naib presiden yang membabitkan enam calon kesemuanya.
Ini mendorong Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Khamis mempersoalkan tindakan beberapa ahli MPT yang didakwa tidak menuruti pelan yang telah dipersetujui, menyebabkan Muhyiddin ‘amat sedih dan kecewa’ di samping meletakkan presiden dalam keadaan amat sukar dan memberi gambaran tidak baik terhadap parti.
Menolak hujah Wan Fayhsal itu — yang dianggap pandangan, penerimaan dan pemahamannya berbeza — Rafiq menegaskan tidak akan menarik diri daripada pertandingan melainkan diminta berbuat demikian oleh Muhyiddin sendiri dan bukan melalui ‘perantara’.
katanya dipetik Malaysiakini.Sebenarnya ada lapan orang menawarkan diri (untuk naib presiden) tetapi hanya enam yang layak mengikut perlembagaan parti, dan mereka diterima dalam mesyuarat MPT serta diputuskan layak untuk bertanding. Presiden pun ada dalam mesyuarat berkenaan dan tidak menyatakan apa-apa pun,
kata Aziss pula yang mempertahankan bahawa tidak timbul isu beliau tidak mengikut petua pemilihan partinya dan tiada keperluan untuknya menarik diri.Memang jelas saya tak menderhaka,
tambahnya.Bagi pihak kami di bawah ini, siapa pun jadi pemimpin dan menang dalam pemilihan akan datang, kami tetap akan sokong,
Cuma Razali yang belum menyatakan pendirian di sebalik teguran Wan Fayhsal — ada ahli MPT menawarkan diri sebagai calon naib presiden walaupun bersetuju dari awal menyerahkan mandat kepada presiden — dilihat lebih ditujukan kepadanya.
Sebagai ketua penerangan, tentunya Razali lebih maklum jika pelan kompromi itu mencakupi jawatan naib presiden seperti dimaksudkan oleh Wan Fayhsal atau hanya terbatas kepada dua jawatan tertinggi seperti difahami Rafiq dan Aziss.
Apa pun, pengumuman jawatankuasa pemilihan minggu lalu sudah mengesahkan penyertaan enam calon untuk jawatan naib presiden dan hak mereka bertanding hendaklah dihormati dan terserah kepada perwakilan menentukan pilihan nanti.
Muhyiddin, jika benar sentiasa bersikap terbuka dan meraikan pertandingan asalkan individu terbabit mematuhi integriti parti seperti dikatakan oleh Rafiq, juga perlu meraikan pertandingan di peringkat ini lebih-lebih lagi ia berlaku di atas ‘kelonggaran’ yang diberikannya.
Penganalisis politik — Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia — menjangka bekas menteri Kiandee dan Radzi akan mengekalkan jawatan naib presiden manakala Peja pula melengkapkan penyandang baharu kerusi itu pada pemilihan bulan depan.
Jika ia menepati ramalan berkenaan, maka Muhyiddin tidak perlu berasa ‘amat sedih dan kecewa’ lagi. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.