`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 3, 2024

Mengapa Israel ingin melanyak selatan Lubnan

 

faisal tehrani

Di Pretoria, Afrika Selatan; suhu tengah hari di awal musim semi nyaman sekali. Ada dingin, ada matahari, dan ada Hassan, pemuda dari Beirut yang saya kenal di konferens Artivism. Hari Ahad, toko banyak yang tutup dan kami rasa terseksa terkurung di kediaman yang dibekalkan, justeru berhajat jalan-jalan di sekitar Union Building.

Maka Hassan memesan Uber dan kereta mengirim kami ke utara taman. Turun jalan iseng-iseng saya masih di fasa berkenalan dengan Hassan. Pertanyaan saya ketika itu mudah, mengapa Israel rasa perlu melanyak Selatan Lubnan?

Hassan menyambut dengan sepatah kata; 

Litani.

Dalam kerut, saya mengulang sahaja apa yang disebutnya, 

Litani?
. Fikiran saya sebagai seorang dramatis memikirkan Litani itu korus semacam zikir dan doa dalam upacara agama Nasrani terangkat masuk dalam pementasan agama Nasrani, liturgi.

Hassan, matanya tajam, badannya sasa dengan suara dalam dan terbatas-batas kerana memilih perbendaharaan kata dalam bahasa Inggeris yang suntuk, kadang mencampur dialog dalam bahasa Arab standard mencari-cari penjelasan yang munasabah.
Ya Sungai Litani.

Kami berjalan di matahari terik, melihat bayang-bayang agak mencondong, dan akhirnya berbuat keputusan duduk di sebuah meja di bawah pohon jacaranda yang baru menguntum. Harapan saya untuk makan sandwich, dan mendengar apa yang akan Hassan utarakan. Ada angin mengibar-ngibar kain pelikat yang saya kenakan.

Hassan akan kerap-kerap mengingatkan, 

kamu berseluar di dalamnya bukan?

Saya membalas dengan gelak mengejek.

Litani.
 Dia mengulang dan matanya semacam menerawang dan menembus ke tebing Sungai Litani.

Saya dapat membayangkan garis biru yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sesudah Israel kalah perang di tangan Hezbollah, dalam bulan Mei tahun 2000. Garis biru itu agak-agaknya untuk memisahkan antara Lubnan dan Israel dan menjadi seakan daerah tenang antara dua buah negara. Di situlah Sungai Litani mengalir lesu ke Laut Mediterranean, menganjur kira-kira 70 kilometer ke Selatan Beirut. Jauh Litani dan garis biru yang diletakkan PBB itu ada yang berkepanjangan 28 kilometer, manakala di bahagian lain ada yang hanya 6 kilometer. Antara Lubnan dan Israel atau Palestina yang dijajah, ada kira-kita 76 kilometer.

Di sepanjang Litani ada kebun pertanian, dusun dan tanam-tanaman yang subur. Zaitun, buah tin, dan bahi menggiurkan. Pekan dan desa kecil yang sentiasa menahan debar setiap saat malam rebah. Di sepanjang Litani itulah terdapat lebih 200,000 penghuni beragama Islam, bermazhab Syiah dan menyokong Hezbollah; dengan 25% sisanya bermazhab Sunni, Druze, dan orang Kristian. Daerah Litani memberikan 12 ahli parlimen dan wakil. Juga di sini Unifil beroperasi selama 28 tahun di bawah Resolusi PBB 425. Tentera Malaysia, Malbatt ikut ada di sini.

Saya dapat membayangkan mata Hassan yang biru kehijauan itu sedang mengelamun mengkhayalkan sungai sepanjang 170km, sumber air utama Lubnan. Ia mengairi projek dan sektor pertanian di Lembah Bekaa. 54,000 hektar tanah bergantung pada sungai ini. Litani memberi air kepada 264 pekan dan kampung, di mana hampir 800,000 orang atau 1/5 penghuni Lubnan menggunakan air dari Litani.

Keluarga Hassan berakar di situ. Tumbuh, meranting dan membesar di Litani.

PBB agak berpihak kepada Israel dalam Resolusi 1701 yang memandatkan agar kawasan ini dijaga oleh tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB. Hezbollah enggan menyerahkan. Mudah untuk difahami, Hezbollah tidak akan percaya dengan tentera Lubnan, dan PBB lebih dilihat sebagai ‘Persetubuhan Bangsat-bangsat Bersatu’. Israel sendiri tidak pernah mengundur jauh dari garis biru, jadi mengapa Hezbollah harus akur untuk menjauh dari Litani? Dan tidakkah 800 ribu rakyat Lubnan berasa lebih selamat dengan jaminan Hezbollah.

Lojiknya juga, Israel memerlukan Litani. Zionis haram jadah menduduki Palestin dan memerlukan Sungai Litani untuk dirinya sendiri. Tidaklah menghairankan Netanyahu sebelum mengarahkan pembunuhan Sayyid Hassan Nasrallah di PBB mengangkat dua peta. Satu peta memuji negara Arab seperti Mesir dan Arab Saudi yang tunduk kepadanya; dan satu lagi berang seraya mengunjuk peta dengan gambaran Iran, Syria, dan Yemen sebagai musuh abadi. Lubnan tiada di dalam peta itu, lantaran Israel telah menelannya. Satu petunjuk akan kesediaan Zionis untuk menjarah Lubnan dan mendudukinya.

Apabila Israel menerbangkan dengan cara pengecut bom di angkasa Lubnan membunuh ribuan orang termasuk Sayyid Hassan Nasrallah, Israel sebenarnya berharap untuk menduduki Lubnan, dan merampas wilayah Litani ini. Kepentingan Litani disebut dalam Resolusi PBB 1701, yang menjadi asbab tamatnya serangan Israel terhadap Lubnan pada 2006. Israel mendakwa Hezbollah mengancam peneroka di utara Israel. Inilah sebabnya Israel menggugurkan notis pengungsian menakut-nakutkan penduduk di selatan Lubnan.

Sungai Litani mungkin hanya alasan. Dalam minda seorang Zionis tegar seperti Netanyahu, Israel harus membengkak besar sehingga ke sempadan Mesir di selatan, dan merangkum Syria dan Lubnan di sebelah utara. Ia boleh melebar sehingga ke Timur membawa ke Arab Saudi dan Iraq, mencecah batas Iran. Memang gila. Kita Melayu bani Qaturah tidak akan dapat menerimanya.

Akan tetapi ada yang lebih gila, terdapat negara-negara umat Islam bermazhab Sunni seperti Jordan yang menolongkan Israel. Setiap kali Yemen, Iraq atau Iran yang dikenal sebagai blok perlawanan menghantam mengirim peluru berpandu ke Israel, Jordan paling beria menolong untuk menangkis. Kerja pembelotan ini berjalan sekian lama.

Apabila Hassan dengan renungan dalam dan jauh itu kembali ke bawah pohon jacaranda di Pretoria, saya dapat menerka kebimbangannya. Hassan, teman baharu saya seorang penggiat masyarakat sivil. Dia menyediakan terapi seni untuk anak-anak di perbatasan di Litani, supaya dapat mengatasi trauma dan gerun raksasa Zionis. Saya dapat membayangkan rasa terancamnya.

Kami makan sandwich petang itu di hadapan Union Building. Dari bangku kami terlihat tugu Nelson Mandela mendepang tangan begitu gagah. Mandela yang amat berpihak kepada Palestin. Tidak ada riak takut di mata Hassan. Bimbang ada, takut tiada. Angin sepoi bahasa meniup, membelai pipi.
Esoknya saya pulang ke Malaysia. Dia mengirim saya di lobi hotel dengan dakapan erat. Dia mahu ke Malaysia, bergambar di Bukit Bintang katanya. Hassan tinggal dua hari lagi untuk ke Cape Town. Saya bilang kirim salamkan kepada orang Melayu di sana. Dua hari sebelum Sayyid Hassan Nasrallah syahid dibunuh Zionis, saya ada mengirim mesej kepada Hassan di akaun IG beliau. Ada rasa lain dalam kantung jantung saya. Dia beritahu dia okay-okay sahaja dan bercadang ke Beirut, untuk mengirim proposal satu pementasan teater ke sebuah yayasan. Memang kebiasaan kalau Hassan ke Beirut, dia akan menginap di sebuah rumah saudaranya di sekitar Banlieue Sud de Beyrouth atau Dahiyeh.

Lima hari lalu pada 27 September, Zionis melanyak Dahiyeh, Beirut. Sayyid Hassan Nasrallah terkorban. Ribuan ikut syahid.

Baru kelmarin tentera Israel cuba menceroboh batas Lubnan dan masuk ke Litani. Juga, sampai hari ini Hassan, kawan baharu itu belum membalas mesej saya yang bertanyakan khabar.

Saya terbayang-bayang matanya yang dalam dan renungan yang menerobos ke dimensi lain itu. Ada pedih ada sedih merasuki benak saya.

Di Pretoria, hampir sebulan lepas; di bawah pohon jacaranda kami sedang makan sandwich ayam. Saya membuat isyarat ada kesan mayonis di bucu bibirnya. Dia tertawa, sambil menyapu dengan hujung keffiyeh. Saya membuat isyarat eeuuww dan dia terus ketawa. Mata Hassan lembut dan memanggil. Sampai sekarang terngiang tawa Hassan. Ia mengalir lesu seperti arus Sungai Litani menerpa ke gegendang telinga, bergaung umpama talun. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.