`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 9, 2024

P Pinang sedia Kompleks Darul Hidayah pulih akidah anak GISBH

 

rumah amal
Menerusi Op Global awal September lepas, polis menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan seramai 572 individu, termasuk kanak-kanak dan remaja. (Gambar PDRM)

TASEK GELUGOR
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan menjadikan Kompleks Darul Hidayah di Penaga sebagai pusat pemulihan akidah bagi kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Yang Dipertua MAINPP Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya bagaimanapun akan menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri berhubung amalan dan kepercayaan kumpulan GISBH sebelum meneruskan program pemulihan terbabit.

Dari sudut pemulihan akidah, kita tunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dahulu yang akan bersidang,
 katanya.

Tetapi di peringkat Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), kita telah sediakan Kompleks Darul Hidayah sebagai pusat pemulihan akidah.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan MPKK Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) bagi Penggal 2024-2028 di Kubang Menerong.

Mohamad yang juga timbalan ketua menteri I Pulau Pinang berkata, keputusan berkaitan fatwa itu kemungkinan diketahui dalam bulan ini dan akan dibentangkan di MAINPP.

Seramai 200 kanak-kanak dan remaja dipercayai anak ahli GISBH dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang berusia antara tiga hingga 19 tahun telah diselamatkan dan kini ditempatkan di Kompleks Penyayang Sinar Kasih di Nibong Tebal sejak 1 Okt.

Mohamad berkata, pasukan khas juga diwujudkan untuk menyelia dan menjaga kesemua anak-anak itu, yang kini melalui proses pembelajaran dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

Selain itu, katanya, anak-anak itu juga diberi bimbingan agama dan psikologi bagi menaikkan semangat mereka.

Semalam, Selangor memaklumkan telah menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH, berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Okt lepas.

Menerusi Op Global awal September lepas, polis menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 termasuk kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan, selain 359 pengikut ditahan, termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.