Tajuk di atas boleh dimengertikan dengan dua cara. Satu, ada ‘pekung’ dalam Liga Malaysia yang menerbitkan bau kurang enak lagi meloyakan. Dua, BAU atau singkatan ‘business as usual’ yang membayangkan urusan harian dalam liga 13 pasukan ini akan tetap berjalan seperti biasa, apa pun insiden yang mencemarinya.
Kadar kehadiran penonton merosot di kebanyakan stadium — kecuali mungkin satu atau dua — sebagai petunjuk minat ramai terhadap Liga M semakin menurun sambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilihat lebih banyak berpeluk tubuh daripada mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan.
Jika anda antara pengikut tegar liga ini, usah terlalu berharap kerana tiada apa-apa akan berubah selepas pergaduhan pemain dalam perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT)-Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Ahad malam.
Pemain sayap tersohor tuan rumah, Arif Aiman Hanapi, dan pertahanan pelawat, Tommy Mawat Bada, yang terbabit dalam pergaduhan pada minit ke-82 perlawanan dimenangi JDT 5-0 itu tidak akan mendapat hukuman tambahan daripada kad kuning yang diterima masing-masing.
Malah, jangan hairan jika Razlan Joffri Ali akan diangkat selaku pengadil terbaik Liga Malaysia musim 2024/2025 ini di samping akan ditugaskan untuk lebih banyak perlawanan di SSI selain aksi JDT di gelanggang pasukan lawan selepas ini atas kecemerlangannya.
FAM — badan induk yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim — dan MFL — pentadbir liga yang tidak konsisten dalam melaksanakan peraturannya — juga tidak akan melakukan apa-apa dan membiarkan insiden di SSI itu berlalu begitu saja sambil berharap lama-lama orang akan lupa. Pada mereka, ia hanya BAU.
Liga Malaysia sudah jadi seperti satu siri pementasan ‘opera klasik’ selama bertahun-tahun yang jalan cerita dan kesudahannya sudah diketahui semua sepanjang satu dekad lalu.
Ya, saya harus teramat sinis. Sebagai seorang wartawan tua yang meliputi bola sepak dari zaman Mokhtar Dahari masih di puncak ketangkasannya sambil Reduan Abdullah menjadi teman sindir-menyindir di tepi padang latihan, saya akui saya ketinggalan zaman. Saya juga tidak pernah ambil kisah jika dituduh tidak mampu berganjak dari zaman silam.
Jangkaan saya terhadap perkara-perkara di atas mungkin silap tapi saya percaya ia benar selagi saya belum dibuktikan sebaliknya. Saya boleh andaikan ini bukan sesuatu yang saya rasakan berseorangan.
Kadang-kadang terlintas juga di fikiran bahawa saya mungkin lebih tertumpu kepada perincian-perincian kecil hingga terlepas pandang gambaran lebih besar (ada pepatah Inggeris ‘missing the woods for the trees’) dan saya mohon maaf untuk itu.
Apa gambaran lebih besar daripada perlawanan malam kelmarin?
JDT selaku pasukan tuan rumah ‘tumpangan’ perlawanan ini — selepas MFL memutuskan lampu limpah di Stadium Perbandaran Manjung tidak menepati piawaian walhal dua perlawanan Perak FC menentang Sabah FC dan Terengganu FC sebelum itu dilangsungkan pada sebelah petang — wajar dihormati sepenuhnya.
Ia keputusan Perak FC juga yang menamakan SSI sebagai gelanggang gantian untuk pertemuan Perak FC-JDT di Stadium Perak pada 17 Ogos dan 5 Okt yang terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat. Keputusan itu juga untuk memastikan undian Piala Malaysia 2024/2025 pada 11 Nov dapat berjalan seperti dirancang.
Pasukan Harimau Selatan itu memiliki hak bermegah selepas menjuarai liga 10 musim berturut-turut selain menduduki tangga keempat Kumpulan A, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ketika ini.
Ia menuntut rasa hormat setiap pasukan pelawat ke gelanggang mereka dan jangan cuba-cuba menimbulkan sebarang insiden tidak diingini — baik oleh pemain di atas padang mahupun penyokong di tempat duduk penonton. Kecuali Kuching City FC yang hanya tewas 1-2 pada 27 Sept, lawan selebihnya pulang dari SSI berhabuankan kekalahan sekurang-kurangnya tiga gol.
Arif Aiman, penjaring empat gol dalam empat perlawanan ACLE selain dikatakan menarik minat kelab Liga Scotland, Rangers FC, sudah tentu tidak layak jadi mangsa faul profesional — dan Tommy Mawat harus ambil pengajaran daripadanya.
Ah… Razlan Joffri. Siapakah pemain dan jurulatih untuk mempertikaikan keputusannya tatkala pengadil itu memasuki padang sebelum sepak mula dengan lencana Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) terpampang megah di dada kirinya. Ini pengadil yang diiktiraf badan dunia, masakan dia boleh melakukan kesilapan atau bersifat berat sebelah.
Buat pasukan-pasukan pelawat pula, usahlah bermimpi untuk dapatkan sekurang-kurangnya satu mata atau cuba-cuba mengadu konon tidak mendapat keadilan kerana ia satu kewajipan untuk JDT menang di halamannya sendiri tanpa ia memerlukan ‘bantuan’ atau tuah. Terimalah hakikat bahawa mereka terlalu bagus kerana itu akan memudahkan cerita.
Perlawanan pada Ahad dipalit dua keputusan kontrovesi Razlan yang mengundang pertikaian ramai. Insiden pertama menyaksikan terjahan keras dan tinggi pertahanan JDT, Feroz Baharudin, ke atas pemain Perak, Clayton Silveira, pada minit ke-37 yang tidak diberikan sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Insiden kedua pula melibatkan Arif Aiman yang dihalang dalam lariannya oleh Tommy Mawat. Lalu pergaduhan tercetus dengan Tommy Mawat mencekik pemain tuan rumah itu yang dibalasnya dengan tumbukan ke muka lawan. Persoalan ramai ialah mengapa Arif Aiman tidak dilayangkan kad merah?
Di mana Razlan pada waktu itu? Dia terlalu sibuk untuk melayangkan kad kuning di tangannya kepada Tommy Mawat dan mungkin terlepas pandang tumbukan dilepaskan Arif Aiman. Cuma apa yang membezakan ialah tiada semakan VAR dibuat terhadap insiden berkenaan.
Ketua jurulatih Perak FC — sesuai dengan sikap menghormati tuan rumah — memilih berdiplomasi dengan menyatakan kerisauannya untuk memberi komen terhadap keputusan pengadil yang boleh memungkinkannya didenda atau digantung mengikut peraturan FAM.
“Sebenarnya saya sudah rasa sukar untuk kami dapatkan sepakan penalti tetapi saya bangga dengan keputusan pengadil. Saya tidak berapa jelas mengenai kedudukan Cleyton ketika bertembung dengan Feroz, jadi saya tidak berani untuk mengatakan sesuatu.
“Saya rasa satu Malaysia dapat tengok malam ini dua keadaan (satu lagi kesalahan Jesper Nyholm mengasari Bergson da Silva yang diberikan sepakan penalti pada minit ke-45 untuk JDT mendahului 4-0) yang mendapat keputusan berbeza.
“Jadi, disebabkan perbezaan tersebut, saya nampak dia banyak menyebelahi kami dalam babak kedua. Mungkin, saya tidak cakap dia buat silap tetapi mungkin, manusia buat kesilapan, terutama pengadil, jadi kami maafkan dia,” katanya.
Kebanjiran komen di media sosial mendorong Timbalan Presiden FAM S Sivasundaram semalam membuat kenyataan bahawa badan induk itu sedia mengambil tindakan ke atas Ariff Aiman dan Tommy Mawat selepas menilai laporan komisioner perlawanan dan penilai pengadil — sesuatu yang dilihat tidak lebih daripada reaksi spontan.
Tiada pula dinyatakannya jika tindakan boleh diambil terhadap Razlan — yang ditugaskan Jawatankuasa Pengadil FAM turut mengadili dua perlawanan terdahulu membabitkan JDT ketika menentang Sabah FC (13 Julai) dan Penang FC (12 Sept) — atau pengadil FIFA mungkin memiliki kekebalan.
Pada hujung-hujungnya, seperti yang sering diungkapkan hos Astro Arena — penyiar rasmi Liga M — Hafizal Hamad, “Ini rumah kita, ini liga kita, tanah tumpah darah kita.”
Buruk atau baik ia adalah liga kita, cuma ia diharap lebih banyak baik daripada buruknya yang tentunya dalam kawalan FAM dan MFL asalkan ada kemahuan dan iltizam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.