Di dalam majalah kartun Gila-Gila dahulu ada drama empat muka surat karya kartunis Cabai berjudul ‘Tiga Dara Pingitan’. Dalam cerita itu ada watak Mak Cik Wok, seorang mak cik kampung yang datang menjaja kain dari rumah ke rumah. Pelanggannya yang terdiri daripada jiran sekampung juga dibenarkan berhutang.
Ketika menjaja kain dari rumah ke rumah Mak Cik Wok turut menjaja kisah tepi kain orang lain. Akan ada slot mengumpat dan menyebarkan gossip melibatkan hal setempat. Kisah si anu kahwin lain, si inu bercerai, siapa beli perabot baharu atau siapa berskandal dengan siapa dia tahu. Dia sangat seronok menikmati slot mengumpat itu ketika berurus niaga. Mengumpat orang sesuatu yang amat sedap sekali.
Dalam dunia media sosial hari ini medan mengumpat, mencerca dan menyelak aib orang makin meluas. Kalau Mak Cik Wok hanya bergosip sesama kawan tentang hal orang yang mereka kenal sahaja, di media sosial kita boleh bawa mangsa umpatan itu ke dalam catatan kita untuk orang lain masuk campur. Tak cukup itu, kita boleh mengumpat orang lain yang kita tak perlu kenal pun. Kita nampak kawan kita ‘post’ kutuk kawan dia yang kita tak kenal, kita pun masuk komen.
Portal online pun bersepah hari ini mencari makan dengan membincangkan nikah cerai artis tanpa berasa salah. Kita bukan sahaja tahu tentang selebriti mana yang sondol suami orang malah boleh komen dan kutuk bagi menambah rencah cerita. Disediakan juga butang kongsi untuk kita sebarkan lagi ke ‘circle’ kita pula. Makin sensasi makin mengundang ramai membaca dan ‘rating’ pun naik.
Mengumpat juga turut diangkat martabatnya di dalam majlis agama. Saya ada tonton sebuah ceramah berlokasikan masjid, seorang penceramah mengutuk seseorang yang saya kenal secara peribadi sebagai sesat dan rosak. Padahal, dia tidak pernah sekalipun bertentang mata dengan kenalan saya ini untuk berbincang dan bertukar pandangan. Hanya dengan menonton video di media sosial dan hanya dengar video para penceramah yang lain bercakap, dia pun tumpang melabel kenalan saya itu.
Hampir lima belas minit isi ceramahnya diisi dengan mengumpat seseorang yang tak berada di situ untuk menjelaskan perkara sebenar. Kerana penceramah ini susuk dihormati, duduk pula di masjid maka sudah tentulah pendengar ceramahnya percaya dan pastilah akan memanjangkan umpatan itu kepada pihak lain. Sedapnya mengumpat, kan?
Antara sebab seseorang itu menjadi Mak Cik Wok yang ketagih mengumpat pihak lain ialah; pertama, kerana memang hobinya suka melaga-lagakan orang tanpa ada rasa bersalah. Suka-suka. Kedua, mahu cari pengaruh dan ‘memegang’ orang lain untuk terus bersama dia. Akan ada pihak yang berasa takut dengan dia dan terus bersama dia walaupun tidaklah mereka suka sangat pun dengan dia. Ketiga, ingin merosakkan karektor dan menjatuhkan peribadi saingannya.
Mungkin kerana dia gagal menyaingi kehebatan saingannya yang dirasakan bakal mengancam kedudukannya lalu dia pun gunakan kaedah ini. Dia mencari kelemahan saingannya dan menjadikannya senjata.
Mengumpat, memburukkan, membuka aib dan menyelak kelemahan pihak lain adalah satu tabiat yang cukup sedap dan boleh menjadi candu. Kalau dalam Islam, ia ibarat memakan daging saudara sendiri.
Seperkara kita harus diingat tentang si kaki umpat yang gemar sebarkan keburukan orang di hadapan kita itu ialah jangan rasa kita selamat. Di belakang kita tak mustahil cerita kita dijajanya kepada orang lain. Kita kena fikir juga mengapa dia begitu selesa mengumpat orang lain di depan kita. Mungkin kita mempunyai ciri-ciri yang mudah bagi dirinya untuk menguasai kita.
“Tapi yang kita umpat ini benda yang betul.” kata saya dulu.
Jawab cikgu saya, “yang betul itulah yang dikatakan umpat. Kalau tak betul, itu namanya dusta. Atau fitnah.”
Bila dah masuk bab fitnah ini lagi bahaya. Lebih besar kesalahannya daripada membunuh kerana fitnah ini satu pendustaan yang hampir-hampir benar. Satu fitnah yang diulang-ulang ke dalam kepala kita banyak kali akan beransur-ansur menjadi sebuah indoktrinasi. Perlahan-lahan kita akan percaya. Lalu kita pun terlibat pula sebagai ejen penyebar.
Aiseh! Takut pula. Kalau begitu, apa kata lepas ini kita tukar. Kalau melepak kita jangan mengumpat lagi tapi kita cerita perihal yang baik-baik saja tentang kawan kita. Kita cerita dan bongkar segala kebaikan kawan kita pula. Atau apabila ada kawan yang cuba hendak mula mengumpat kita tegas suruh hentikan. Amacam? Tapi, tak sedaplah pulak, kan? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.