`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, November 10, 2024

Anwar tiba di Kaherah untuk lawatan rasmi 4 hari

 

Free Malaysia Today
Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi Perdana Menteri Mesir Mustafa Madbouly sebaik tiba di Kaherah untuk lawatan rasmi. (Gambar Bernama)
KAHERAH
Perdana Menteri Anwar Ibrahim selamat tiba di sini untuk lawatan rasmi empat hari ke Mesir atas undangan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada 6.30 petang waktu tempatan (12.30 tengah malam waktu Malaysia) dan ketibaan beliau disambut oleh Perdana Menteri Mesir Mustafa Madbouly, Duta Besar Malaysia ke negara itu Mohd Tarid Sufian serta pegawai lain.

Semasa di Dewan Ketibaan Presiden, Anwar memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 16 anggota tentera Mesir.

Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Huang Tiong Sii serta pegawai lain.

Esok, perdana menteri akan diberi sambutan rasmi di Istana Al-Ittihadiya sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan El-Sisi yang disusuli mesyuarat dua hala.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) termasuk di antara Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif bagi Kerjasama di Fakulti Ulum Islamiah dan MoU bagi kerjasama Malaysia dan Mesir dalam bidang hal ehwal agama.

Anwar juga dijadual menyampaikan ceramah umum di Universiti Al-Azhar disusuli sesi libat urus bersama tokoh-tokoh industri tempatan.

Mesir adalah rakan perdagangan kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Afrika dengan nilai dagangan RM3.35 bilion pada tahun lepas.

Bagi tempoh Januari hingga September 2024, nilai dagangan yang direkodkan antara kedua-dua negara ialah RM3 bilion iaitu peningkatan sebanyak 21.4% berbanding tempoh sama pada 2023 dan pada tahun ini, nilai dagangan kedua-dua negara dijangka mengatasi prestasi tahun lepas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.