`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 20, 2024

Bila Mahathir pergi ‘mall’

 

Mohsin Abdullah

Jika anda pergi ke pusat membeli-belah yang besar, tak kiralah di bandar mana pun di negara ini dan terlihat papan tanda di situ menggunakan bahasa Cina secara total mungkin anda akan merungut sendirian, atau menyuarakan perasaan tidak puas hati di platform media sosial.

Begitu juga Mahathir Mohamad bekas perdana menteri, tetapi beliau merungut sambil menyelar, siap dengan sinis. Seperti Mahathir yang kita kenali. Mungkin anda sudah tahu tapi saya ceritakan juga.

Menurut Mahathir menerusi catatan di platform X, tempoh hari beliau mengunjungi beberapa mall di ibu negara. Di satu mall yang megah dan baru dibuka, kata Mahathir, papan tandanya semua menggunakan bahasa Cina.

Nothing is in Malay. Not at all,” kata Mahathir. “Tiba-tiba saya rasa saya berada di negara China. Ini Malaysia ke? Atau kita sudah jadi sebahagian daripada negara China?” kata beliau lagi. Ini vintage Mahathir, kata penggemarnya merujuk sarcasm yang ditonjolkan. This is typical of Mahathir. Biasalah, kata mereka yang tidak berapa minat dengan beliau.

“Kalau bahasa Inggeris saya fahamlah. Di Jepun pun ada papan tanda dengan terjemahan bahasa Inggeris. Tapi ini (papan tanda di KL) ada tulisan Cina besar-besar. Bahasa kebangsaan kita bahasa Melayu,” kata beliau lagi.

Pada masa sama Mahathir mengakui barangkali sebabnya kedatangan pelancong China ke Malaysia. Pada masa sama juga Mahathir menegaskan boleh guna bahasa Cina untuk terjemahan “but in small characters yes“.

Mungkin ini untuk melembutkan kenyataannya sebelum dituduh bermain sentimen ras dan anti-Cina. Saya kata ‘mungkin’ kerana siapalah saya untuk menyelam minda pemimpin besar seperti beliau.

Namun Mahathir sememangnya kerap dituduh anti-Cina berikutan kata-kata dan tindakannya pada masa lalu. Satu contoh pendapatnya mengenai penggunaan chopstick oleh orang Cina yang beliau kait dengan keengganan berintegrasi dan mengamalkan cara hidup Malaysia. Mahathir menafikan beliau anti-Cina.

Tegurannya mengenai papan tanda bahasa Cina boleh juga dilihat sebagai taking a swipe at the government. Menuduh secara berlapik kerajaan tidak ambil peduli dan membiarkan bahasa Melayu diabaikan. Itu pendapat peribadi saya. Mungkin betul mungkin tidak. Seperti saya kata tadi siapalah saya untuk menyelam minda Mahathir dan mengetahui apa hasrat atau tujuan beliau. Namun tidak dinafikan Mahathir do have a point.

Apa pun bagi golongan terpaling Melayu kita sering dengar tuduhan kerajaaan terlalu lemah untuk berbuat apa-apa kerana dikuasai DAP lantas orang bukan Melayu khususnya orang Cina ‘naik tocang’. Ini tuduhan bukan baharu. Kerajaan tentu sedar tuduhan seperti ini selalu dilempar. Terpulang bagaimana mahu mengatasi masalah ini.

Menurut laporan FMT bertarikh 18 November, bulan lalu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberitahu ia mengeluarkan 20 notis kesalahan dan 10 notis penguatkuasaan kepada pemilik kedai kerana “menggunakan beberapa bahasa selain bahasa kebangsaan secara keterlaluan” daripada Januari hingga 16 Oktober tahun ini.

DBKL juga mengingatkan pemilik kedai memberi keutamaan menggunakan bahasa Melayu di papan tanda sambil menegaskan ia bukan sekadar penghiasan tetapi tertakluk menurut undang-undang kecil pengiklanan Wilayah Persekutuan.

Berbalik teguran Mahathir. Oleh kerana beliau tidak menamakan pusat beli-belah yang memaparkan papan tanda bahasa Cina secara berleluasa, ramai netizen yang tertanya-tanya dan membuat tekaan sendiri. Pelbagai nama dilontar. Entah betul entah tidak.

Namun satu komen di Facebook saya kira melucukan. Kata si penghantar komen: “Mall mana Mahathir pergi? Sejak tiga minggu ini aku pergi (disebut beberapa nama pusat beli-belah). My only complaint is awal sangat pasang Christmas tree and decorations.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.