Apabila seseorang manusia melakukan kekejaman terhadap binatang ada undang-undang khusus yang boleh digunakan ke atas mereka. Si pelaku boleh didenda malah dihukum penjara berdasarkan peruntukan dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015. Akta ini boleh dilihat sebagai perundangan mencegah kezaliman terhadap binatang.
Memukul, menendang, menganiaya, memarahi, menakutkan binatang antara diiktiraf sebagai kezaliman terhadap haiwan. Apa lagi membunuh binatang. Kita maklum manusia (ramai yang tidak mahu istilah ini digunakan untuk golongan ini) yang kejam dan zalim terhadap binatang dikenakan hukuman mengikut akta yang disebut tadi.
Bagaimana pula jika pihak berkuasa bertindak melupuskan binatang? Dalam bahasa kasar ‘membunuh’ binatang. Pihak berkuasa yang dimaksudkan ialah penguat kuasa kerajaan tempatan. Dan biasanya sasaran ialah anjing yang dikategorikan sebagai ‘stray dogs’.
Jika diterjemah ke bahasa Melayu ‘stray dogs’ ialah ‘anjing liar’. Namun ‘anjing liar’ dalam bahasa Inggeris ialah ‘wild dogs’. Sebenarnya ‘stray dogs’ pada hemat saya ialah anjing terbiar, terabai, tidak bertuan, hidup merata-rata, merayau-rayau.
‘Wild dogs’ pula sesuai namanya bersifat liar dan boleh atau pernah menyerang manusia lazimnya tinggal di hutan. Bagi saya ‘stray dogs’ dan ‘wild dogs’ tidak sama. Tetapi tidak dinafikan kadangkala ‘stray dogs’ dilihat sebagai ancaman ke atas manusia. Pendek kata adakala ‘stray dogs’ menyerang manusia.
Ini antara sebab pihak berkuasa kerajaan tempatan bertindak melupuskan ‘stray dogs’ seperti yang diizinkan perundangan. Satu lagi sebab adalah mengatasi masalah bilangan anjing terbiar yang bertambah.
Baru-baru ini diberitakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu menerima aduan awam mengenai video tular yang mendakwa pihak berkuasa tempatan menembak mati seekor anjing bernama Kopi. Jabatan itu dilapor berkata kes sedang disiasat mengikut Akta Kebajikan Haiwan.
Apa yang berlaku ke atas Kopi memang menyayat hati. Menurut catatan dan video di media sosial, si Kopi ialah anjing terbiar yang jinak, mesra dan manja dengan manusia juga binatang. Ada video menunjukkan Kopi bermain dengan anak kucing terbiar. Peribahasa seperti anjing dengan kucing tidak boleh digunakan jika mengambil kira kemesraan Kopi dan si anak kucing terbiar.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah dilapor berkata Majlis Daerah Besut melupuskan Kopi mengikut prosedur. Beliau memberi penjelasan panjang lebar dalam memberi ‘justifikasi’ operasi melupus anjing liar. Tidak perlu saya ulang di sini.
Cuma ingin memetik laporan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, ‘pelupusan haiwan liar’ adalah langkah terakhir dan kerajaan tempatan yang gagal mematuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 patut dikenakan tindakan.
Kata-kata Nga ‘does not sit well with’ S Sashi Kumar presiden Persatuan Furry Future Selangor, badan pelindung kucing dan anjing liar. Beliau bertanya sama ada pelupusan Kopi mematuhi garis panduan yang disebut Nga. “Jika kes tersebut memenuhi spesifikasi garis panduan maka garis panduan itu mesti disemak semula kerana jelas ia tidak berperikemanusiaan,” kata beiau. Saranan yang wajar sekurang-kurangnya dipertimbangkan.
Ada pihak mencadangkan kaedah tangkap, kembiri, vaksin dan lepas atau TNVR dilaksanakan. Ertinya anjing terbiar ditangkap, dikembirikan untuk mengawal pembiakan, diberi suntikan vaksin untuk mengawal penyakit merebak dan dilepaskan semula. Nga menyuarakan kebimbangan akan kaedah itu atas sebab ia belum diiktiraf sebagai mekanisme antarabangsa di samping melibatkan implikasi besar dari segi kos dan sumber manusia.
Saya kira kumpulan yang pro-TNVR berpendapat anjing yang dibebaskan semula setelah dikembiri dan divaksin harus diizin bebas sehingga tiba waktu ia mati dengan sendirinya.
Secara peribadi saya tidak suka anjing terbiar ditembak mati. Tetapi diakui ada masalah timbul. Ini termasuk kemungkinan penyakit yang dibawa dan hakikat bukan semua anjing terbiar jinak dan manja seperti Kopi. Dan tidak dinafikan masalah pembiakan.
Adakah kaedah terbaik ialah menangkap dan menempatkan anjing terbiar di ‘rumah perlindungan’? Milik kerajaan atau swasta. Demi menjamin hak haiwan dijamin atau terjamin. Namun, kita sering dengar keluhan pengendali ‘animal’ atau ‘dog shelter’ yang ‘struggle’ berdepan masalah bertambahnya penghuni rumah. Sekali gus membabitkan kos makanan dan ubat dan sebagainya. Ini boleh menjejaskan anjing yang di bawah penjagaan mereka.
Jadi apa penyelesaiannya? Jujur saya tidak tahu. Mana datangnya anjing terbiar ‘in the first place’? Menurut pencinta anjing, ramai orang gemar dan sayang anak anjing. Mereka pun beli ‘cute puppies’ untuk dijadikan ‘pet’ atau diberi kepada anak sebagai hadiah hari lahir dan sebagainya. ‘Cute puppies’ ibarat barang permainan. Apabila ‘puppies’ semakin membesar minat si pemilik berkurangan hingga sampai tahap jemu. Lalu puppies yang kini menjadi anjing dewasa dilepaskan di jalanan. Dan anjing yang dulunya dibelai dan dimanja ditinggalkan. Terabai.
Manusia akan marah jika anjing terabai menjadi ganas atau kotor lantas membawa penyakit. Padahal pencetus masalah ialah manusia sendiri. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.