`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 18, 2024

Damai kembali dalam Bersatu?

 

hishamuddin-aun

Selesainya pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 2 Nov lalu meninggalkan cuma satu persoalan — apakah Azmin Ali akan menerima pelantikan selaku setiausaha agung seperti dicadangkan Presiden Muhyiddin Yassin dalam pelan komprominya pertengahan Julai lalu?

Di sebalik pemilihan awal bulan ini mencetuskan pelbagai reaksi — sesetengahnya bercanggah antara satu sama lain — namun gembar-gembur mengenainya sudah semakin reda dan hanya menantikan pengesahan lanjut dalam perhimpunan agung tahunan (PAT) dalam masa terdekat ini.

“Bersatu masih di bawah MPT lama (2022-2024) sehingga PAT berlangsung. Tan Sri (Muhyiddin) akan umum setiausaha agung (bersama jawatan bendahari agung dan ketua penerangan) pada PAT nanti. Insya-Allah Azmin akan terima,” kongsi satu sumber MPT dengan FMT.

Azmin selaku ketua Bersatu Selangor awalnya diura-urakan akan bertanding jawatan timbalan presiden bagi mencabar penyandang Ahmad Faizal Azumu. Jika setiausaha agung Hamzah Zainudin ikut bertanding jawatan nombor dua parti, dijangkakan berlaku perebutan tiga penjuru — sesuatu yang mahu dielakkan Muhyiddin bagi memastikan pemilihan tidak meningkatkan suhu dalam parti sehingga menimbulkan perpecahan.

Berucap dalam konvensyen Bersatu pada 13 Julai lalu, Muhyiddin memberitahu perwakilan bahawa kepimpinan tertinggi parti sudah melakukan rundingan menerusi apa yang ditakrifkan suatu ‘pelan kompromi’ membabitkan beliau sendiri sebagai ‘orang tengah’. Menghuraikan hasil rundingan itu dalam sidang media pada petang hari yang sama, Muhyiddin berkata selain beliau sendiri terus memimpin parti, ia merangkumi kenaikan pangkat untuk Hamzah daripada jawatan setiausaha agung ke jawatan timbalan presiden. Kekosongan jawatan setiausaha agung ditawar kepada Azmin. Ia dilihat menghindarkan pertembungan Hamzah-Azmin bagi jawatan nombor dua.

Penyandang timbalan presiden Ahmad Faizal pula bersetuju berundur setapak untuk merebut satu daripada tiga jawatan naib presiden selain penyandang Radzi Jidin dan Ronald Kiandee. Kebetulan wujud satu kekosongan bagi jawatan itu selepas penyandangnya Rafiq Naizamohidden keluar Bersatu pada 2022.

Pengumuman Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 4 Okt lalu selepas senarai pencalonan dimuktamad menunjukkan pelan kompromi itu hampir mencapai matlamat sepenuhnya apabila Muhyiddin dan Hamzah disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dan dua. Radzi, Kiandee dan Ahmad Faizal pula diumumkan menang pemilihan 2 Nov mengatasi tiga lagi calon naib presiden — Ketua Penerangan Razali Idris, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin — bagi melengkapkan trio pelan kompromi berkenaan.

Terdahulu laporan FMT pada 17 Julai memetik sumber sebagai membayangkan Azmin menolak cadangan melantiknya sebagai setiausaha agung — ia didakwa dimaklumkannya kepada ketua bahagian Bersatu di Selangor, beberapa hari selepas ‘pelan kompromi’ berkenaan diumumkan.

“Azmin tolak jawatan berkenaan dan mahu fokus kepada PN Selangor yang diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang. Ada juga ura-ura Azmin tak sanggup ‘downgrade’ dirinya daripada menang timbalan presiden PKR untuk menjadi setiausaha agung yang dilantik,” kata sumber itu.

Penganalisis politik pula berpendapat khabar angin Azmin menolak jawatan setiausaha agung mungkin disebabkan beliau mahu bertanding kedudukan lebih tinggi terutama timbalan presiden yang pernah disandangnya ketika bersama PKR.

Kata Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan, keputusan Azmin itu boleh dibaca dari dua sudut iaitu tidak bersetuju dengan percaturan Muhyiddin dan mahu bertanding jawatan timbalan presiden kerana yakin mampu memenanginya sekalipun berdepan dengan Hamzah.

Teka-teki mengenainya berlarutan apabila Azmin dalam responsnya melalui laporan The Star pada 18 Julai tidak menafikan secara khusus penolakannya terhadap lantikan selaku setiausaha agung tapi membiarkan persoalan itu tergantung.

“Masih awal untuk buat keputusan sebelum pemilihan. Saya akan berbincang dengan presiden parti dan mendengar nasihatnya,” katanya disusuli pengumumannya pada 24 Sept untuk tidak bertanding jawatan tertinggi dalam parti, sebaliknya hanya fokus kepada ketua Bersatu bahagian Gombak yang dimenanginya tanpa dicabar.

Namun, ada petunjuk terbaharu daripada Azmin yang hadir bersama Hamzah dalam Konvensyen Bersekutu Negeri Selangor di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada Sabtu — bayangan bahawa semuanya baik-baik belaka di antara kedua-duanya.

“Peranan Bersekutu amat penting dalam negeri Selangor yang majmuk. Kepelbagaian adalah aset penting untuk Bersatu terus melangkah maju dan memimpin negara dan umat,” kata Azmin dalam akaun media sosialnya.

Barangkali itu yang dikiaskan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil pada Jumaat bahawa Muhyiddin lebih berjaya mengawal persaingan dalam parti berbanding Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana pemilihan Bersatu telah diatur.

“Oh iya ke (Muhyiddin lebih pandai kawal parti dari Anwar), dia dah ‘setting’ semua macam itu dan semua kena ikut. Okaylah. Itu pandangan dia,” katanya mengulas kenyataan Ahli MPT Bersatu Dr Afif Bahardin. Afif berkata walaupun wujud dakwaan pertembungan antara kem, perkara itu hanya spekulasi dan akhirnya keputusan perwakilan menzahirkan pilihan seperti yang disaran pimpinan tertinggi parti.

Sebelum ini, Azmi Hassan menyifatkan keputusan pemilihan kepimpinan tertinggi sebagai kompromi menang-menang bagi kedua-dua kumpulan yang menyokong Hamzah dan Azmin di samping tiada pihak yang boleh mendakwa mereka menguasai MPT.

“Bagaimanapun, saya rasa kem Azmin kekurangan pengaruh kerana beliau setakat ini tiada jawatan. Beliau mungkin ditawarkan jawatan setiausaha agung tetapi saya rasa Azmin tidak akan menerimanya,” katanya seperti dilapor FMT pada 5 Nov.

Sebaliknya, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula beranggapan status quo dicapai dalam pemilihan Bersatu pada 2 Nov mungkin tidak akan membawa kepada penyatuan apabila segelintir ahli dilihat tidak berpuas hati dengan formula Muhyiddin.

Sebarang formula untuk menghalang perbalahan dalam parti mungkin sia-sia, tambahnya, jika Bersatu gagal membuktikan kemampuannya — bahawa ia mampu berdiri sendiri tanpa bergantung kepada PAS, rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).

Lantas, penerimaan Azmin terhadap lantikan selaku setiausaha agung — satu jawatan penting yang boleh terus menyerlahkan kepimpinannya — akan dapat meredakan ketegangan dalam parti daripada berlarutan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.