PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah Johor menegaskan Umno sepatutnya menunjukkan keikhlasan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum mengkritik cadangannya mahu bertanding 20 DUN pada PRN akan datang.
Timbalan Ketuanya Dzulkefly Ahmad berkata cadangan disuarakannya sebelum ini hanya persiapan awal parti itu dan Umno sewajarnya tidak menyindir atau mengkritik sebelum mendapatkan maklumat tepat mengenainya.
Menurutnya, Umno juga sepatutnya berbincang dahulu jika benar-benar ikhlas dalam meneruskan hubungan dengan PH yang terjalin di peringkat pusat.
“Keputusan bertanding 12 hingga 20 kerusi di Johor tidak membabitkan mana-mana parti sekali pun dan pendirian diasaskan selepas perbincangan dan kajian.
“Pendirian Amanah Johor sangatlah jelas bagi menghadapi PRN atau PRU16 sekiranya kami dan PH bersama Umno/Barisan Nasional (BN) di bawah kerajaan perpaduan.
“Atau persediaan awal dalam pertembungan tiga penjuru yang membabitkan gabungan PH, BN dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.
Pada 5 Nov lalu, Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman berkata partinya sedia ‘berperang’ dengan Amanah pada pilihan raya akan datang, selepas parti itu berhasrat bertanding 20 kerusi DUN Johor.
Dzulkefly dipetik berkata Amanah membuat keputusan awal itu kerana BN tidak mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri terbabit.
Pada September tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata tiada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan negeri ditubuhkan sebelum PRU15.
Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berharap polemik kerajaan perpaduan di Johor dihentikan dan tidak perlu ditimbulkan.
Pada PRN Mac 2022, PH memperuntukkan 20 kerusi DUN kepada Amanah, yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi apabila selesai pilihan raya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.