Saya sedang membaca buku ‘Ten Myths About Israel’ oleh sejarawan Israel, Ilan Pappe yang terkenal menyanggah dasar apartheid dan zionisme. Kemudian berselang bacaan, saya menjenguk platform X lantas dikejutkan perihal tentera Zionis yang bercuti di Amsterdam, sambil menyaksikan perlawanan bola sepak antara kelab Ajax dan Maccabi Tel Aviv di kota negara Belanda itu.
Selepas perlawanan bola tersebut kekacauan telah meletus ekoran peminat dan penyokong kelab bola sepak Zionis itu buat hal. Kehebohan tersebut melangkau hari dan minggu kini.
Begini, ada sebuah akaun di platform media sosial X dengan nama Israel Genocide Tracker, sehingga rencana ini dituliskan, akaun ini beroleh lebih 160 ribu pengikut. Platform X yang dimiliki oleh Elon Musk sudah berani mensensor status akaun ini. Oleh sebab itu mereka juga membuka akaun di Telegram dengan harapan akan terus dapat mendedahkan kebabian Zionis.
Peranan Israel Genocide Tracker ini penting. Apa yang mereka lakukan ialah mengikuti dan mengamati media sosial tentera-tentera Zionis yang menjarah, membunuh dan melakukan genosid di Gaza dan Lubnan. Wajah mereka kemudian diganding dengan foto-foto dari akaun Telegram rakyat Israel, dan media sosial mereka sendiri. Hal ini dimudahkan kerana tentera Zionis ini rajin sekali mempamerkan wajah, dan gambar mereka melakukan perbuatan kejam dan jahat itu. Foto-foto ini berserta jawatan dan pekerjaan sial mereka disusun, dianalisa dan diterbitkan di Israel Genocide Tracker.
Tentera-tentera ini sudah mulai berasa bimbang lantaran dosa dan kejahatan mereka diketahui orang. Apa yang mengejutkan ialah ada di antara mereka bekerja firma-firma penting di seluruh dunia. Ada yang hidup penuh kepuraan dalam kalangan kita. Yang lebih menyakitkan hati ialah sebahagian besar tentera Zionis ini memiliki dwi kerakyatan.
Misalnya ada askar Zionis ini yang berkewarganegaraan Filipina tetapi membunuh di Gaza. Ada pula yang merupakan rakyat Australia, Brazil, Afrika Selatan, Perancis, Itali malah Maghribi, Yemen dan Turki tetapi bermaharajalela di Palestin dan Lubnan sembari mengebom sekolah, mencarik bayi dan menggilis manusia di khemah hadapan hospital dengan kereta kebal yang dipandu mereka.
Pendedahan berani Israel Genocide Tracker inilah membolehkan pemilik akaun tersebut memburu tentera Zionis yang telah membunuh, kemudian boleh bercuti hujung minggu senang lenang di Dubai. Perburuan akaun itu membawa kepada antara lain, seorang tentera Zionis yang menonton perlawanan bola sepak antara Ajax dan Maccabi pada 8 November lalu.
Tembelang Israel terburai. Penyokong kelab bola Zionis ini bukan sahaja melakukan vandalisme di Amsterdam dengan menurun bendera dan memecahkan kediaman yang mengibar bendera Palestin; mereka juga memukul pemandu teksi, mengejar penghuni Amsterdam dengan senjata dan menyanyikan lagu-lagu rasisme dengan penghargaan kepada tentera Israel lantaran berjaya membunuh kanak-kanak Palestin.
Ketika arahan bertafakur untuk mangsa banjir Valencia, Sepanyol dikumandangkan di stadium sebelum perlawanan, mereka berbuat bising dan bersorak sorai tanda tidak hormat. Ini difahami kerana kerajaan Sepanyol sekarang enggan mengiktiraf tindak-tanduk Israel.
Perilaku biadab ini adalah satu perancangan teratur agar berlaku rusuhan, dan dengan itu mereka boleh mendakwa diri adalah mangsa serangan warga Belanda berbangsa Arab. Memang celaka.
Salah seorang yang membuat onar ini berjaya dikesani oleh Israel Genocide Tracker, dan wajahnya diperagakan agar diketahui oleh seluruh dunia. Seperti yang saya sebutkan lebih awal, pendedahan akaun X ini membawa kita kepada satu kenyataan bahawa tentera Zionis ini kebanyakannya memegang dua pasport.
Makanya, ketika saya sedang duduk minum teh African Sunrise di Komtar JB Ahad lalu, seraya menghadap ke arah jalanan menuju ke CIQ dan Bangunan Sultan Iskandar, darah saya menggelegak dan berderau. Saya yang sedang membaca buku ‘Ten Myths About Israel’ karya sejarawan Israel, Ilan Pappe itu membayangkan bagaimana keadaannya jika ada tentera Zionis pembunuh anak dan wanita di Gaza dan Lubnan datang bercuti di negara jiran kita?
Dia masuk ke sana dengan menggunakan pasport Israel, dan kemudian menganjur pula ke Johor Bharu sampai ke Legoland dengan menyuakan pasport negara lain, katakan Turki, atau malah Filipina. Kita yang tidak menyedari kewujudan penjenayah perang ini mungkin makan minum di sisinya di kafe hipster, atau menonton wayang berlaga bahu dan lengan di dalam panggung, atau bersarapan di hotel yang sama, mungkin pula naik satu gerabak roller coaster di Legoland. Bahkan mungkin menolongkan pula mengetikkan kamera tatkala dia ingin digambari di simpang tersohor Bukit Bintang. Tidakkah lahanat sekali? Jahanam sungguh.
Hal ini tidak mustahil terjadi kerana sempadan negara kita pernah bolos. Awal tahun ini, seorang warga Israel, Avitan Shalom dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru. Shalom harus ditegaskan, memiliki pasport kewarganegaraan Perancis dan diberkas di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Mac 2024. Jika beliau didapati bersalah menerusi pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) tersebut, dia mungkin dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang daripada enam kali. Sehingga setakat ini Shalom makan tanggung dalam penjara dengan duit cukai yang saya bayar. Betapa bedebah.
Jika kita membayangkan khayalan di atas, kita akan berasa sakit hati terutama mengenangkan mulut Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbuih di Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab dan Islam baru-baru ini. Beliau mendesak supaya semua resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) dan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCS) terhadap Israel disegerakan. Anwar Ibrahim dalam ucapan di Riyadh, Arab Saudi malah merencanakan agar Israel disingkir dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Tetapi tuptup.
Saya memang sedang asyik membaca buku ‘Ten Myths About Israel’ oleh sejarawan Israel, Ilan Pappe di kafe menghadap CIQ. Ada aliran masuk pelancong dan warga asing menyeberang masuk ke Komtar, Johor Bharu setelah mereka berpusuan di kaunter imigresen. Ada Melayu Singapura menjinjit barang belanja, ada pekerja asing Nepal dan Bangladeshi santai-santai sesama sendiri.
Dalam ramai-ramai manusia yang bertolakan masuk ke negara kita, saya mengkhayalkan ada tentera Zionis durjana yang bercuti di negara jiran, melilau pula ke JB untuk meninjau-ninjau Malaysia, negara pembenci Israel keparat. Tentera Zionis itu boleh jadi jantan mahupun betina, dan dia duduk di sisi saya mengetis panettone berinti kismis seraya mencicip latte. Dia mungkin menjeling saya yang sedang asyik membaca. Dia mungkin tidak berpuas hati melihatkan saya memegang buku oleh Ilan Pappe tersebut.
Jantan atau betina itu adalah pembunuh. Tidak syak lagi penjahat, dan penjenayah perang. Dia mungkin membuat onar sepertimana Mossad membuat kecoh di Amsterdam. Dia mungkin seperti Shalom yang memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru. Tidakkah celaka sekali bayangan itu? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.