`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 20, 2024

Setpol Anwar bidas Bersih gopoh, dangkal beri gred tanpa fakta

 

kamil munim
Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan sentiasa terbuka menerima kritikan bertanggungjawab. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Seorang pegawai Anwar Ibrahim menegaskan pemberian gred kepada kerajaan pusat dengan mengetepikan fakta dan kedudukan terkini sebagai kenyataan gopoh dan dangkal.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata semua pihak harus belajar daripada pengalaman lalu dengan sebarang perubahan harus dilaksanakan secara bijaksana, tidak gopoh dan mengikut keutamaan berdasarkan konteks serta keadaan semasa.

“Perdana menteri (Anwar) dan kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan serta kritikan yang bertanggungjawab.

“Sebarang kenyataan dan skema penggredan mengenepikan fakta serta kedudukan terkini dilihat sebagai kenyataan yang agak gopoh dan dangkal,” katanya di X.

Semalam, Bersih menilai kerajaan perpaduan dengan gred ‘D’ mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya, selain meletakkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri terbaik sejak 2009.

Pengerusi Faisal Abdul Aziz berkata, gred diterima kerajaan perpaduan mencerminkan kemajuan terhad melaksanakan reformasi, serta jurang antara retorik dan tindakan.

Menurut Bersih, ketiadaan reformasi yang ketara bawah pentadbiran Anwar sesuatu membingungkan, memandangkan kerajaan perpaduan menikmati sokongan kuat di Parlimen berbanding ketika pentadbiran Ismail dan Dr Mahathir Mohamad (pada 2018), yang melakukan lebih banyak reformasi dalam tempoh dua tahun pertama.

Mengulas lanjut, Kamil berkata reformasi dan agenda perubahan politik, ekonomi serta pentadbiran bawah pemerintahan Anwar masih berjalan.

“Prestasi kerajaan mesti dinilai melalui indikator dan petunjuk ekonomi secara keseluruhan serta keyakinan pelabur,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dalam dua tahun ini juga sudah melaksanakan beberapa reformasi mendesak walaupun keputusan itu tidak popular seperti penyasaran subsidi diesel.

“Kita juga dapat saksikan bantuan langsung kepada rakyat telah ditingkatkan selain pewujudan akta fiskal yang menuntut kerajaan berbelanja mengikut keupayaannya dan tidak boros sememangnya reformasi begitu mendesak serta diberi keutamaan.

“Ketiga, hal lain sedang direncana termasuk akta perolehan kerajaan bagi memastikan sistem lebih telus dan berintegriti, juga antara dasar reformasi sedang dirangka,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.