`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 1, 2024

Lepih yang 'letih'

SURAT | Setelah mendapat status Geopark Kebangsaan, kita mengharapkan daerah Lipis yang bertuah ini menjadi lebih segar, sihat dan bugar dengan pelbagai agensi kelestarian.

Rasanya impian itu sangat sederhana. Tidak terfikir pun harapan yang terlalu tinggi, sempurna atau melampau. Ini bukan harapan sehingga bertaraf utopia.

Cukuplah daerah Lepih ini diwajahkan dalam ruang perkiraan yang cerdik serta waras sesuai dengan agenda global yang menitikberatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Dengan tulisan ini saya boleh saja dianggap seorang tua yang perengus (grumpy old man) dan gemar membebel. Namun saya bukanlah si tua yang menolak sebarang pembangunan.

Seperti sepatutnya kita wajar merai dan menyuburkan jiwa yang hijau.

Justeru apabila kawasan rimba Bukit Bius yang kaya dengan khazanah warisan sejarah serta floranya yang rimbun dicorakkan untuk menjadi tapak perkhemahan, timbul rasa gelisah yang panjang.

Berdasarkan pengamatan saya tapak itu sekadar boleh menampung maksimum 30 orang pada masa yang serentak.

Ia pula terletak kira-kira 100 meter saja dari sebuah rumah besar dan lama tinggalan orang Inggeris suatu ketika dulu. Ia membuatkan saya mahu ketawa sekali gus menangis.

Tiada niat tersembunyi

Dalam keadaan sekarang, rasanya masih banyak kawasan yang lebih sesuai dibangunkan sebagai tapak perkhemahan di Lepih ini. Tapak perkhemahan sedia ada pun sudah banyak. Apa yang diperlukan ialah agar ia dibaik pulih.

Misalnya Taman Hutan Terenggun, Gua Bama, Tasik Selendang dan Tasik Burung Mandi. Ini adalah sebahagian daripada kawasan yang boleh ditambah baik. Masih ada tempat lain juga yang lebih sesuai.

Laluan pejalan kaki di rimba Bukit Bius itu pun sangat tidak sesuai apabila diperbuat menggunakan simen konkrit. Tunggulah apabila hujan dan cuaca lembap, ditambah pula dengan daun gugur yang menutupinya, laluan itu akan berlumut lalu menjadi licin.

'Teknologi' sebegitu sudah tertinggal di belakang.

Apa salahnya jika dibina 'board walk' yang lebih sesuai. Janganlah gunakan kayu sebaliknya diganti dengan gentian kaca seperti yang ada di Taman Negara Kuala Tahan atau laluan di Mossy Forest .

Ia jauh lebih mesra alam.

Sebagai warga Lepih asal dan membesar serta tua di daerah ini, rasanya tidak ada salah untuk saya menyatakan pandangan. Tiada sebarang kepentingan atau niat tersembunyi di sebalik teguran ini.

Daripada membina tapak perkhemahan di situ, lebih baik dibangunkan bilik interpretif (interpretive room) yang dapat membekalkan pelbagai maklumat sejarah warisan, fauna dan flora Bukit Bius.

Antara aktiviti yang boleh dikendalikan di situ nanti - selain menjejak rimba secara santai - ialah memerhati dan mengkaji burung (bird watching) yang sangat sesuai.

Secara tidak langsung kita boleh menanam serta mengembangkan nilai pendidikan dan kesedaran alam sekitar di situ.

Pada masa sama, ketika ini begitu ramai orang membicarakan isu kredit karbon. Maka sudah sewajarnya perkara ini perlu diambil cakna oleh Lepih. Bukankah menjadi impian semua untuk melihat daerah ini mendapat status Geopark Global menjelang 2026?

Mungkin patut diwartakan saja Bukit Bius itu sebagai hutan komuniti dalam bandar.

Sebagai penjelasan melalui pembangunan kredit karbon ini kita boleh dapat keuntungan dengan hanya menjaga hutan yang ada. Tidak perlu banyak usaha yang diperlukan kecuali memulihara hutan.

Semoga kehijauan Lepih sekarang terjaga demi warganya agar sejahtera dan cerdas. - Mkini


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.