EKSKLUSIF | Pemberi maklumat dalam skandal rasuah di Sabah mendedahkan tangkap layar mesej WhatsApp, bersama butiran masa dan lokasi transaksi yang didakwa berkaitan pembayaran RM500,000 kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Mohd Arifin Arif.
Arifin merupakan Adun Membakut dan menantu kepada Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru dilantik, Musa Aman.
Pemberi maklumat mendakwa selepas rundingan, dia berjaya menurunkan harga daripada RM3 juta kepada RM1.5 juta untuk lesen cari gali mineral yang diluluskan oleh ketua menteri.
Dia juga mendakwa bahawa Arifin ditawarkan 16 peratus saham “secara percuma” dalam syarikat yang memohon lesen tersebut.
Pemberi maklumat turut mendakwa seorang proksi berusia 68 tahun yang dikenali sebagai "Encik A" dilantik sebagai pemegang rasmi saham 16 peratus dalam syarikat itu, yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Perniaga tersebut mendakwa beliau telah beberapa kali mengadu kepada "Mr A" bahawa wang itu merupakan pendahuluan daripada pelabur untuk mendapatkan kelulusan lesen cari gali mineral.
Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan video Arifin berbincang mengenai wang berjumlah RM500,000 bersama pemberi maklumat tersebut.
Pemberi maklumat itu turut mendakwa beberapa Adun dikatakan telah disogok untuk mendapatkan lesen perlombongan.
Dia seterusnya mendakwa dana tersebut adalah pendahuluan daripada pelabur, yang disediakan khusus untuk memudahkan sogokan bagi mendapatkan kelulusan lesen cari gali mineral.
Bukan sumbangan politik
Pada Selasa, peguam pemberi maklumat berkenaan, Muhammad Shafee Abdullah, mengumumkan bahawa anak guamnya telah memutuskan untuk mendedahkan mesej WhatsApp dan “bukti” sokongan lain untuk menolak dakwaan bahawa dana tersebut adalah sumbangan politik.
Peguam kanan itu menambah bahawa anak guamnya merancang untuk membuat laporan kepada SPRM dan menyerahkan bukti tambahan yang dimilikinya.
Berikut ialah butiran transaksi yang didakwa melibatkan Arifin serta tangkap layar WhatsApp berkenaan:
RM500,000 tunai
Menurut pemberi maklumat berkenaan, RM200,000 telah diserahkan kepada Arifin secara tunai pada 8 April 2023, sekitar jam 12.30 tengah malam di Hotel Sama-Sama KLIA, Kuala Lumpur.
Arifin dan adiknya baru sahaja pulang dari Melaka dan dijadualkan berangkat ke Sabah pada keesokan harinya.
RM300,000 lagi secara tunai didakwa diserahkan pada 27 Jun 2023, sekitar jam 10 malam di Oldtown White Coffee - Likas, Kota Kinabalu.
Seorang individu yang dikenali sebagai “Mr A” didakwa hadir dan menyaksikan penyerahan wang tersebut. - Mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.