`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 3, 2024

KDN, UPM bangun modul ujian BM bagi pemohon kerakyatan

 

Free Malaysia Today
Kaedah menguji pengetahuan bahasa kebangsaan turut diamalkan negara-negara seperti Kanada, AS, Jerman dan Perancis dalam permohonan kewarganegaraan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan modul baharu ujian pengetahuan bahasa Melayu (BM) bagi pemohon kewarganegaraan Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah bertujuan mengukur kemahiran bahasa kebangsaan itu selari dengan syarat tambahan dalam permohonan kewarganegaraan susulan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan 2024.

“Ada tanya, kenapa (tambah) syarat bahasa … kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, BM bahasa rasmi,” katanya pada sesi penggulungan RUU di Dewan Negara hari ini.

“Jadi kalau Perlembagaan sebut kedudukan bahasa, apa sangat jika kita masukkan (syarat tambahan kemahiran BM), malah kaedah ini jadi amalan negara luar seperti Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis untuk mohon jadi warganegara.”

RUU itu antara lain bertujuan meminda Fasal (1) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara) dengan memasukkan perenggan bahawa pemohon mesti mempunyai pengetahuan BM yang mencukupi.

RUU itu kemudian diluluskan dengan sokongan 50 Ahli Dewan menerusi undi belah bahagian selepas dibahaskan oleh 33 senator manakala lima tidak hadir.

Mengenai isu kerajaan tidak mengguna pakai pendekatan retroaktif dalam meminda RUU itu, Saifuddin berkata, KDN telah mengkaji amalan terbaik di banyak negara seperti Singapura sebelum membuat keputusan.

“Kita ada senarai (negara) dan bila kita teliti, akhirnya kita buat keputusan yang munasabah, iaitu kaedah yang sesuai dengan iklim dan acuan kita … pemakaian pendekatan secara ke depan.

“Kalau kita nak pakai pendekatan secara ke belakang (retroaktif), sampai bila dan hingga generasi ke berapa? Semua ini perlu kita ambil kira tapi pada masa sama, ia tidak menjejaskan peluang anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia sebelum undang-undang ini dikuat kuasa untuk menjadi warganegara,” katanya.

Sidang Dewan Negara bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.