KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan cacat dan berniat buruk terhadap individu tertentu.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Ahli Parlimen tidak diberikan maklumat penuh sedangkan laporan itu dibahaskan untuk kepentingan negara.
“(Sejumlah) 47 muka surat dipadamkan. Ini tanda laporan yang kita rasa ragu.
“Mungkin ada satu niat buruk terhadap individu-individu tertentu (dan) sasaran pihak berkuasa sekarang ini,” katanya semasa membahaskan Usul Laporan RCI berhubung Pengendalian Kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Seramai 10 wakil rakyat membahaskan laporan RCI itu selepas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, turut mendedahkan terdapat minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 2018 yang menunjukkan 13 menteri setuju supaya keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh.
“Bagi saya ini adalah satu minit Jemaah Menteri yang diputuskan (pada) 23 Mei 2018.
“Tidak dinafikan ini dokumen sah. Saya harap Parlimen tidak disalahgunakan,” katanya.
Pada Selasa lalu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata keputusan berkait pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri, termasuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.
Mahathir juga menafikan membuat keputusan unilateral membatalkan permohonan menyemak dan mentafsir keputusan ICJ mengenai Batu Puteh, dan berkata, selain Wan Azizah, Lim Guan Eng yang merupakan menteri kewangan ketika itu, dan Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri turut menghadiri mesyuarat membincangkan perkara itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.