`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 12, 2024

‘Hukum semua termasuk presiden saya’, kata Hamzah berkait kehilangan kedaulatan Batu Puteh

 

hamzah zainudin
Hamzah Zainudin menegaskan kesalahan berkait Batu Puteh tidak boleh diletak pada Dr Mahathir Mohamad sahaja kerana ia tanggungjawab kolektif.

KUALA LUMPUR
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menggesa semua ahli Jemaah Menteri terbabit dalam pengendalian penyerahan kedaulatan Batu Puteh sewaktu pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada Mei 2018 dihukum.

Ahli Parlimen Larut dari Perikatan Nasional (PN) itu mempersoalkan mengapa hanya ada desakan supaya tindakan diambil terhadap Mahathir yang menjadi perdana menteri kali kedua ketika peristiwa terbabit berlaku.

“Apakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) (mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan) ini hanya untuk menghukum seseorang? Saya hairan dalam laporan ada disebut berkait tatakelola dan pegawai kerajaan, tetapi semua persoalan dituju kepada Mahathir.

“Adakah ini untuk menghukum atau cari kesalahan Dr M sahaja? Seluruh Kabinet juga harus diambil kira kerana ia tanggungjawab kolektif.

“Kalau nak hukum PM, hukum juga TPM yang bersetuju…kalau itu termasuk presiden saya (Muhyiddin Yassin), hukum dia sama. Tapi Pagoh berani bangun dan kata itu dipersetujui Kabinet,” katanya yang juga timbalan presiden Bersatu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada perbahasan laporan RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Laporan yang dibentangkan 5 Dis lalu itu antara lain mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Mahathir.

Prosiding itu diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri diketuai Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Terdahulu, Mahathir hari ini menegaskan beliau tidak membuat keputusan sepihak, sebaliknya hanya menyuarakan pendapat dan ia dilakukan atas persetujuan Jemaah Menteri ketika itu.

Menurutnya, antara yang hadir dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu adalah Timbalan Perdana Menteri ketika Itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Muhyiddin selaku menteri dalam negeri, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Bagaimanapun, Azizah, Loke dan Mohamad dalam kenyataan pagi tadi berkata mereka tidak diberi ruang menyuarakan pendirian mengenai pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh, sebaliknya ia dibuat Mahathir sendiri tanpa membincangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Hamzah bagaimanapun mempersoalkan kenyataan tiga pemimpin terbabit dan mahu mereka bertanggungjawab bersama.

“Sekarang cakap tak tahu, kalau tak tahu letak jawatan hari ini (merujuk Loke dan Mohamad yang berada dalam Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim),” katanya yang mendakwa gesaan menghukum Mahathir hanya untuk memenuhi dendam kesumat pihak tertentu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.