Bot yang dalam perjalanan dari Menumbok ke Labuan itu dilencongkan ke Pantai Mawilla selepas kebakaran dikesan pada kapal.

Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holdings Sdn Bhd, Noor Halim Zaini berkata kebakaran disedari apabila api dan asap dikesan pada bahagian tertentu bot.
“Pengendali segera mengemudi bot ke pantai berhampiran untuk memastikan semua penumpang dapat keluar dengan selamat.
“Walaupun api merebak dengan cepat, semua penumpang selamat dan tidak mengalami kecederaan. Namun barangan peribadi mereka musnah dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama.
LDA Holdings merupakan pengendali Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
Noor Halim berkata perincian lanjut termasuk punca kebakaran dan kemusnahan bot masih dalam siasatan.
Saksi di Pantai Mawilla berkata penumpang yang kelihatan terkejut dengan kejadian itu, dibantu ke tempat selamat sebelum api marak.
Pasukan penyelamat serta pihak berkuasa telah mengawal tempat kejadian dan memulakan siasatan awal untuk mengenal pasti punca kejadian.
Laluan Menumbok dan Labuan merupakan antara laluan maritim paling sibuk dengan ratusan penumpang menggunakannya setiap hari untuk urusan kerja, sekolah dan perjalanan penting. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.