`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Thursday, December 4, 2025

Membaca kembali 1515

'1515' mengenai kehebatan Melayu. Bukan ketuanan Melayu. Kehebatan Melayu dan ketuanan Melayu itu berbeza.

faisal tehrani

Dua puluh dua tahun yang lalu saya menulis sebuah novel, yang diberi paksa akan judulnya ‘1515’. Setelah melampaui dua dekad, saya bersyukur karya ini masih dibaca orang; masih dibincangkan; dan mujur sekali masih ada ingin menerbitkan. Sehingga hari ini terdapat tiga edisi ‘1515’ iaitu pada 2003 oleh Utusan Publications and Distributors; pada 2020 oleh Gerak Budaya; dan edisi paling baharu dan minimalis gayanya, terbitan Kawah Buku pada 2025.

‘1515’ sebuah fiksyen yang hari ini akan digolongkan sebagai sejarah alternatif di mana naratif kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada penjajah Portugis telah saya gubah. Menurut saya, protagonis dalam ‘1515’ seorang perempuan Melayu bernama Tun Nyemah Mulya — seorang srikandi, seorang panglima laksamana Melaka — yang memimpin flotila, mengetuai armada laut Nusantara; dengan kekuatan besar, dan dengan dua tujuan utama: iaitu mengotakan janji kepada Alfonso Albuquerque, penakluk Portugis di Asia, untuk mengebumikan jasadnya di Lisbon; dan kedua, menakluk Portugal agar tunduk kepada Melaka.

Tahun ‘1515’ ini dipilih sebagai satu simbol penting, yang saya krafkan sebagai batu tanda bersejarah alternatif — iaitu bukan kejatuhan Melaka, tetapi sebaliknya kemenangan Melayu atau tahun terdirinya ‘kerajaan Melayu di Eropah’ selepas kejatuhan Portugal.

Untuk membina ‘1515’ saya menggabungkan ramuan sejarah, legenda, pelayaran, peperangan laut, konflik kuasa dan juga kisah cinta sehala, pengorbanan seorang wanita dalam latar budaya dan gelora politik Melayu. Untuk mencipta sebuah dunia tidak biasa ini, saya menguji dunia sastera dengan naratif yang meruntuhkan sejarawan Barat seraya mengupas wacana kolonial terhadap Melaka lantas menggantinya dengan naratif yang menonjolkan kehebatan Melayu.

‘1515’ mengenai kehebatan Melayu. Bukan ketuanan Melayu. Kehebatan Melayu dan ketuanan Melayu itu berbeza. Kebanyakan karya saya begitu.

Kehebatan Melayu sebagai bangsa Timur itu saya tonjolkan menerusi kehebatan maritim, kepimpinan wanita Melayu, serta terakhir sekali kebanggaan terhadap bangsa dan tamadun sendiri. Saya ingin menggambarkan satu pasak mental bahawa bangsa Melayu bangsa berperadaban dan bukannya bangsa ‘terlantar’.

Dek kerana protagonisnya adalah wanita maka ia juga hadir mengungkapkan kisah perempuan yang bukan sahaja menawan, bahkan melawan. Makanya Tun Nyemah Mulya watak wanita yang berkuasa, pintar, gigih dan saya mencabar seluruh stereotaip basi wanita Melayu dalam sastera dan sejarah.

Idea besar lain tentunya memperkirakan perihal trauma kolonialisme dan imperialisme. Sejarah penaklukan Portugal; dan bukannya Melaka satu permainan balas terhadap penjajahan Barat dan pengungkapan semula sejarah agar kita di Timur atau di Selatan tidak akan hanya tunduk kepada apa sahaja yang ditentukan daripada Barat, dan bahawa perspektif tempatan atau yang dijajah juga perlu diperhitung.

Oleh kerana ‘1515’ adalah fiksi, pembaca mesti akur dan sedar yang ia adalah himpunan, kepal dan uli sebati, gabungan dan balutan realisme sejarah, unsur legenda dan fantasi. Ia permainan sasterawi di mana saya bertanya ‘apa jika’ secara kreatif.

Oleh kerana ‘1515’ adalah fiksi, pembaca mungkin terdera dengan naratif kompleks dan simpang siur: yang mana ia adalah “written in a ‘writerly’ fashion”. Ragam dan langgam penceritaan novel saya ini memupuk aneka unsur sejarah, mitos, lagenda Melayu (cerita penglipur), serta diskusi pascakolonialisme, feminisme, dan nasionalisme.

Apakah tujuan saya melakukan provokasi ini? Adakah saya sengaja menggugurkan naratif yang lazim diterima, lantas berpindah ke satu versi naratif yang diredam iaitu yang provokatif dan membuka ruang pemikiran?

Saya juga menulis ‘1515’ kerana saya mahu pembaca bangkit dalam kesedaran sejarah, di mana saya menjampi pembaca sambil menyucuk mereka untuk menyemak semula apa yang mereka anggap sebagai ‘sejarah rasmi’ sekaligus mempertimbangkan perspektif yang kurang ingin didengari.

Mempertikaikan naratif rasmi ini adalah kebiasaan karya saya, dan inilah puncanya saya dipandang kontroversi, dan ini juga sebab saya kadang-kala berdepan ‘masalah’.

Syukur novel ‘1515’ ini memenangi tempat pertama dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (ExxonMobil) 2002 bawah kategori novel remaja. Syukur juga ia dianggap sebagai karya penting dalam sastera Melayu kontemporari dengan pendekatan penulisan sejarah alternatif.

Semua resepi dalam ‘1515’ itu asalnya hanya ada dua simpang. Sama ada ia ditolak dan digelakkan pembaca atau ia diimani dan melekat sekali. Namun demikian, naratif ‘1515’ tetaplah rumit di mana pelbagai lapisan dan jentera (sejarah, mitos, teori) membuat khalayak kerap merungut memandangkan ia kurang selesa dibaca oleh pembaca runcit tanpa pengenalan kepada pengajian sejarah dan budaya.

‘1515’ sebuah novel saya yang kompleks kerana ia juga datang dari idea yang kompleks. Hari ini ramai yang datang kembali kepada saya dan bertanya bagaimana saya boleh menulis sebuah novel gila sebegini.

Barangkali saya harus mengaku untuk menulis karya gila, pengarang harus menjadi gila. Beliau juga harus menjadi seorang yang gila-gila.

Ada juga yang bertanya mengapa saya dikenali sebagai ‘pengarang haram’.

Hari ini dengan merujuk ‘1515’, Faisal Tehrani di dalam mahu membuatkan Mohd Faizal Musa di luar percaya yang ‘1515’ tidak difahami atau sukar difahami, atau saya sukar difahami kerana saya terbiasa mencabar dan mempersoalkan naratif rasmi, menghadiri dan mengisi wacana balas, dan menjadikan sastera sebagai satu medan sanggahan yang provokatif tetapi setidak-tidaknya sekaligus puitis. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.