Yang pasti belum ada kesudahannya, cerita masih panjang.

“Pandangan saya – Muhyiddin masih mahu berpencak silat dalam gelanggang politik.” Ayat ini ialah kesimpulan artikel saya siaran FMT 23 hari lalu. Saya ulangi untuk artikel ini kerana sememangnya berpencak silatlah yang dilakukan oleh Muhyididn Yassin si presiden Bersatu.
Apa tidaknya – Muhyiddin kita tahu sudah pecat timbalannya Hamzah Zainudin bersama 16 ‘hulubalangnya’ yakni tiga Ahli Parlimen, dua Adun dan 10 ketua bahagian. Dua lagi Ahli Parlimen penyokong Hamzah sudah lebih awal lagi dipecat.
“Sekian lama saya berhemah hadapi sabotaj dalaman tapi tak dihargai,” kata beliau.
Politikus lama jangan ‘take them for granted’. Saya bercakap secara umum. Sama ada Muhyiddin, Hadi Awang, Dr Mahathir Mohamad dan iya Anwar Ibrahim. Mereka berusia lewat 70-an kecuali Mahathir yang jauh lebih tua. Meskipun mungkin persepsi bahawa mereka boleh ‘dimakan’ politikus lebih muda ia tidak semudah dijangka.
Muhyiddin membawa imej ‘Abah’ – selamba, ‘unassuming’. Nampak tak ‘combative’ tetapi ‘combative’ rupanya. Lihat apa yang telah dilakukannya.
Saintis politik Wong Chin Huat menyifatkan Muhyiddin sebagai ‘kepala yang tidak mempunyai kawalan ke atas badannya’. Ada benarnya apa diibaratkan Wong.
Namun, pemecatan ‘Hamzah dan Co’ mungkin cara Muhyiddin mahu mengembalikan kawalan. Dan sekurang-kurangnya buat masa ini Bersatu yang ada ialah parti ‘Muhyididn dan Co’ yang turut dianggotai Azmin Ali seorang politikus yang dikatakan cekap selok-belok percaturan politik. Tidak mustahil si setiausaha agung menasihati si presiden.
Benar, Hamzah juga punya penyokongnya yang masih berada dalam parti. Barangkali mereka akan beri tekanan ke atas presiden dari dalaman. Itu juga strategi penyokong Azmin dalam PKR dulu ketika beliau keluar (dikeluarkan?) parti. Namun, strategi itu tidak menjadi. Akhirnya mereka sepi akur atau sokong pucuk pimpinan.
Kita hanya boleh tunggu dan lihat sama ada penyokong Hamzah berjaya memaksa presiden undur. Jika berjaya Hamzah boleh diambil semula. Jika gagal? Kita cerita sebentar lagi.
Mengikut pandangan dan jangkaan beberapa pemerhati dan penganalisis politik ‘Muhyiddin’s time is up’. Mungkinkah beliau ‘overated’ kemampuannya dan kali ini tersalah langkah?
Mungkin begitu tetapi bak dikata tadi beliau masih mahu bersilat. Dan mampu. Lihat kekosongan jawatan pengerusi Perikatan Nasional yang masih kosong. Lihat juga kebuntuan pemimpin PAS yang dianggap gah. Bukankah itu petunjuk permainan licik beliau? Dikatakan isu jawatan pengerusi PN akan selesai 19 Feb ini. Wallahualam.
Apa pun mustahil Muhyiddin akan hanya berpeluk tubuh setelah mencantas Hamzah dan pasukannya. Tidak mungkin beliau dan Azmin tidak mengatur langkah seterusnya bagi memperkuhuhkan barisan dan bergerak ke hadapan. Perlu dingat Bersatu pimpinannya masih komponen PN yang kini ‘diterajui’ PAS. Pun beigtu kelangsungan parti Bersatu Muhyiddin banyak juga bergantung kepada gerak langkah Hamzah.
Diulangi persoalan tadi. Jika penyokong Hamzah yang dalam Bersatu gagal memaksa Muhyididn undur apa akan jadi? Hamzah dan geng boleh sertai PAS yang ramai maklum memang ‘favour’ beliau. Boleh ke?
Benar kata Takiyuddin Hassan setiausaha agung PAS, partinya tidak memihak – yakni tidak menyebelahi Muhyiddin mahupun Hamzah. Adakah itu cakap-cakap politik? Pada hemat saya PAS cenderung kepada Hamzah. Ini bukan rahsia. Ramai percaya PAS mahu Hamzah sebagai pengerusi PN.
‘Now that he is out of Bersatu’ macam mana? Masuk PAS dan jadi pengerusi PN mewakili PAS? Pemimpin PAS yang dikatakan sudah disenaraipendekkan untuk jawatan itu bagaimana agaknya reaksi mereka?
Kembali soal tadi mengenai menyertai PAS. Penyokong Hamzah yang bukan Ahli Parlimen atau Adun memang boleh menyertai parti pimpinan Hadi atau mana- mana parti. ‘No problem’ jika PAS atau parti poltik lain mahu terima mereka.
Bagaimana pula Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen dan rakan yang juga Ahli Parlimen? Oleh kerana merka dipecat parti dan bukan bertindak tinggalkan parti mereka tidak melanggar apa-apa peruntukan akta lompat parti. Jadi boleh jadi ahli PAS?
Imbau kembali enam Ahli Parlimen Bersatu yang isytihar sokong PMX pada 2024 dan juga dipecat. Antara mereka ialah Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.
Beliau pernah dipetik media berkata, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mereka menyertai mana-mana parti. Lantas mereka jadi Ahli Parlimen bebas. Bagaimanapun, menurut Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mereka masih mewakili pembangkang.
Berdasarkan ‘penjelasan’ Suhaili, jika ‘Hamzah dan Co’ tidak boleh jadi ahli PAS mereka jadi Ahli Parlimen bebas yang mesra PAS. Bukan masalah. Cuma persoalannya adakah beliau akan terus pegang jawatan ketua pembangkang di Parlimen? Bersatu tentu tidak mengizinkan.
Bagi Hamzah beliau masih ketua pembangkang. Mengikut tradisi ketua pembangkang dipilih oleh wakil daripada parti pembangkang yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Parlimen.
Berdasarkan tradisi dan keputusan pilihan raya 2022 Hadi sepatutnya dipilih sebagai ketua pembangkang berikutan jumlah kerusi dimenangi PAS. Tetapi hasil perbincagan PAS memberi laluan kepada Bersatu yang menamakan Hamzah.
Perlu dinyatakan Presiden Umno Zahid Hamidi pun ada kata Hamzah (dan team?) boleh diterima masuk Umno menurut konsep Rumah Bangsa yang diilhamkannya.
Mungkin ini juga cakap-cakap politik? Pada hemat saya ia bertujuan menunjukkan ‘betapa besarnya jiwa’ Zahid boleh menerima semula orang yang lompat parti ketika Umno/BN kalah PRU14 dulu. Menurut Hamzah ketika itu beliau keluar Umno kerana hilang kepercayaan kepada Zahid.
Walaupun jika Zahid ikhlas mahu terima semula Hamzah apa agaknya kata ahli Umno yang setia sepanjang zaman kecundang Umno dulu?
Dalam pada itu, ada penganalisis politik berpendapat satu pilihan buat Hamzah ialah menubuhkan parti baharu, sekali gus jadi presiden. Bolehkah ini dilakukan? Jujur saya mengakui saya tidak tahu ‘what the anti-hopping law say about this’.
Yang pasti parti itu tidak akan diterima sebagai komponen PN. Bersatu ‘will make sure of this’. Melainkan PN (baca PAS) singkir Bersatu daripada PN dan bawa masuk parti Hamzah. Berani ke PAS melakukan ini?
Perkiraan terbaik ialah parti Hamzah duduk di luar PN. PAS akan berbaik dengan mereka dan juga Bersatu yang kekal dalam PN. Berenang dua kolam bukan perkara baru buat PAS.
Satu lagi opsyen parti baru Hamzah jadi komponen Pakatan Harapan? Segala kemungkinan. Yang pasti cerita ini belum ada kesudahannya. Cerita masih panjang. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.