`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, April 6, 2026

Kuskop sedia bantu Nasi Lemak Saleha ganda pengeluaran

 Menteri Kuskop Steven Sim berkata, agensi kementerian telah diarah bincang dengan pengurusan syarikat, kenal pasti bentuk sokongan diperlukan.

Steven Sim buat nasi lemak
Steven Sim berkata, selepas 15 tahun meniaga kecil-kecilan, Nasi Lemak Saleha kini miliki restoran sendiri serta menggaji puluhan pekerja dengan pengeluaran cecah kira-kira 15,000 bungkus sehari. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim menyatakan kesediaan kementeriannya membantu mengembangkan perniagaan Nasi Lemak Saleha yang kini menyasarkan untuk menggandakan pengeluaran harian.

Beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama pengurusan syarikat itu bagi mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan, khususnya dari segi pembiayaan dan pengembangan fasiliti.

“Saya sudah arahkan agensi-agensi Kuskop untuk bincang bagaimana kita boleh bantu dia gandakan hasil dan gandakan pendapatan bisnes keluarga mereka.

“Kisah seperti ini mengingatkan kita bahawa ramai usahawan hebat bermula dari langkah kecil,” katanya menerusi hantaran di Facebook

Sim berkata, kisah kejayaan Nasi Lemak Saleha bermula secara kecil-kecilan apabila pengasasnya, Kak Saleha, berniaga di tepi jalan menggunakan meja lipat di bawah payung, dengan nasi lemak dimasak sendiri di rumah.

Perniagaan itu kemudian berkembang selepas beliau mendapatkan pembiayaan awal sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurut Sim, selepas 15 tahun, perniagaan tersebut kini memiliki restoran sendiri, dapur berpusat, serta menggaji puluhan pekerja dengan pengeluaran mencecah kira-kira 15,000 bungkus sehari, berbanding hanya ratusan bungkus pada peringkat awal.

Tambahnya, kejayaan itu turut didorong oleh sokongan pelbagai agensi kerajaan termasuk SME Corp Malaysia, Tekun Nasional dan Institut Keusahawanan Negara.

Beliau berkata, anak pengasas, Dr Rizal yang kini bertindak sebagai ketua pegawai operasi (COO) memaklumkan, syarikat itu menyasarkan untuk menggandakan kapasiti pengeluaran, namun memerlukan pembiayaan tambahan bagi mencapai matlamat tersebut.

Steven berkata, kisah seperti ini membuktikan ramai usahawan berjaya bermula daripada langkah kecil, dan kerajaan komited untuk memastikan lebih banyak perniagaan mikro berkembang menjadi syarikat berskala besar.

“Misi kita di Kuskop adalah untuk memastikan bisnes kecil jadi besar, dan bisnes besar jadi lebih besar,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.