Larian di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Perlis itu sempena penganjuran Nakawan Rainforest Festival 2026 yang berakhir semalam.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat mengambil bahagian dalam ‘Fun Run’ sejauh 3.8 km.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Ag Shaffie Ag Ahmadni bersama barisan pegawai kanan jabatan.
Larian khas itu berkonsepkan rekreasi berasaskan pendidikan dan konservasi apabila peserta dibawa melalui beberapa hentian menarik termasuk D’Kelulut, Pusat Konservasi Pelanduk dan Rimba Herba Perlis.
Ia antara pengisian utama Nakawan Rainforest Festival anjuran Jabatan Perhutanan Perlis, yang bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, menggalakkan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi serta memperkenalkan khazanah hutan dan ekopelancongan Perlis kepada orang ramai.
Peserta juga berpeluang menyertai aktiviti lawatan interpretif alam sekitar serta program penanaman pokok sebagai simbol komitmen terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.
Selain larian, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di kawasan bersebelahan iaitu Taman Eko Rimba Bukit Ayer sepanjang festival itu, antaranya Pasar Warisan Perlis yang menawarkan jualan pelbagai makanan tradisional dan produk tempatan.
Pengunjung juga berpeluang mengikuti Program Cakna Tradisi Lisan Awang Batil yang menampilkan pameran serta aktiviti berkaitan warisan seni budaya Perlis.
Tarikan lain termasuk aktiviti hutan yang merangkumi pameran pendidikan perhutanan, aktiviti riadah keluarga serta lokasi bergambar menarik yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi dalam suasana santai dan harmoni. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.