Awang Azman Awang Pawi berkata keyakinan rakyat terhadap istilah seperti 'reformasi', 'perubahan', atau 'reset' semakin bersyarat.


Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata rakyat masih mahukan politik bersih, berintegriti dan matang, namun keyakinan mereka terhadap istilah seperti ‘reformasi’, ‘perubahan’, atau ‘reset’ semakin bersyarat.
Katanya, pengalaman politik negara menunjukkan banyak gerakan bermula dengan idealisme tinggi, tetapi akhirnya terperangkap dalam budaya kuasa lama.
Jelasnya, cabaran utama Reset bukan pada nama atau slogan digunakan, sebaliknya krisis kepercayaan rakyat terhadap ahli politik.
“Rakyat kini mahu melihat bukti jelas dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan, bukan sekadar retorik mengenai integriti serta pembinaan negara.
“Tanpa perkara ini, Reset mudah dibaca sebagai ‘old politics in new packaging’,” katanya kepada FMT.
Jumaat lalu, penggerak Reset Saifuddin Abdullah menegaskan gagasan dibawa Hamzah, bekas ketua pembangkang bukan bertujuan menyelamatkan kerjaya politik mana-mana individu.
Bekas menteri yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata gagasan Konsensus Nasional Baharu berkenaan bertujuan membina semula budaya politik negara berasaskan perjuangan, integriti dan pembinaan negara.
Hamzah melancarkan gerakan Reset pada 14 Feb lalu, sehari selepas dipecat Bersatu, dan difahamkan akan mengumumkan penubuhan parti baharu menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.
Penubuhan parti baharu itu berlaku ketika PAS dikatakan sedang mengkaji hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata Reset perlu membuktikan keberanian memutuskan budaya politik transaksional yang menjadikan jawatan sebagai alat tawar-menawar kuasa.
Katanya, tanpa garis pemisah yang jelas daripada amalan lama, gerakan itu berisiko dilihat sebagai penjenamaan semula elit politik sedia ada.
“Jika Reset mengulang pola ini, ia akan menjadi fosil politik seterusnya, slogan yang mati sebelum sempat hidup,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.