Pengerusi PKFZ Lim Lip Eng berkata ia beroperasi dalam rangka kerja pematuhan kastam dan perdagangan dikawal selia dengan ketat.

Pengerusi PKFZ itu berkata, Malaysia adalah hab pembuatan serta logistik serantau utama, dan perdagangan antarabangsa yang sah memang membabitkan rantaian bekalan global, pemprosesan perantaraan, penggabungan serta aktiviti eksport semula.
Sebagai Zon Bebas dan hab logistik bersepadu, jelasnya, PKFZ beroperasi dalam rangka kerja pematuhan kastam dan perdagangan dikawal selia dengan ketat.
“Semua pelabur, pengeluar, peniaga dan pengendali logistik yang mahu menubuhkan operasi dalam PKFZ tertakluk kepada saringan ketat, pemeriksaan wajar dan keperluan kawal selia.
“Operasi mereka perlu mematuhi undang‑undang Malaysia, keperluan kastam, peraturan zon bebas dan syarat pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian berhubung laporan media menyatakan Malaysia diklasifikasikan negara Tier 2 dikaitkan dengan peningkatan risiko pemindahan haram.
Laporan bertajuk “The Great Transshipment Scam: Rise, Scope and Costs” itu mendakwa Malaysia menjadi ‘mikrohab’ pengeluaran dan pintu masuk maritim, termasuk melalui PKFZ.
Tetapi, laporan yang diterbitkan Pejabat Dasar Perdagangan dan Pembuatan Rumah Putih itu mengakui peralihan sumber import Amerika Syarikat (AS) dari China tidak boleh dijadikan bukti semua perdagangan China yang terjejas telah dialihkan secara haram.
Lim menegaskan isu berkaitan asal-usul barangan dan pensijilan eksport di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negara terbabit, bukannya ditentukan PKFZ.
Jelasnya, pengeluaran Sijil Asal Tidak Keutamaan (NPCO) untuk eksport ke AS dikendalikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Menurutnya, proses pensijilan adalah komprehensif, di mana Miti antara lain memerlukan analisis kos, deklarasi berkanun, maklumat syarikat dan pengeluaran.
Katanya, Miti turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam bagi menangani kemungkinan kesalahan pemindahan.
“PKFZ kekal komited memastikan kemudahannya digunakan perniagaan sah, patuh kepada peraturan dan mampan dari segi komersial.
“Jika timbul kebimbangan pengawalseliaan atau tanda ketidakpatuhan, kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan Miti, Jabatan Kastam serta pihak berkuasa berkaitan lain untuk mengambil tindakan sewajarnya.” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.