Umno menegaskan hasrat parti itu untuk tidak “mengotorkan tangan” semasa menguruskan krisis diraja dan adat di Negeri Sembilan yang masih belum menampakkan pengakhiran.
Presidennya Ahmad Zahid Hamidi pada masa sama turut mempersoalkan siapa pihak yang didakwa 'memaksa' Menteri Besar, Ismail Lasim, menandatangani surat cara proklamasi bagi menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, perkara itu sebaiknya diabsah oleh peguam yang berada di tempat berkenaan ketika proses menurunkan tandatangan itu berlangsung.
“Siapa yang paksa? Dia (Ismail) kata dia dipaksa, itu ayat dia.“Saya rasa elok kalau kenyataan itu diabsahkanlah oleh peguam sendiri, jika peguam itu berada di ketika penandatangan itu dikeluarkan.
“Dan kita akan dengar, mungkin sidang media yang akan diadakan dalam waktu terdekat,” katanya.
Dia yang juga timbalan perdana menteri menambah, Umno sentiasa menghormati institusi raja dan juga institusi Undang serta adat di Negeri Sembilan.
“Sebaik mungkin kita tidak akan mengotorkan tangan untuk menyantuni situasi di Negeri Sembilan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan yang Ahmad Zahid turut terlibat semasa Ismail bertemu dengan pihak yang berkaitan bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikannyna.
“Memang saya tak ada (ketika tandatangan proklamasi), dia (Ismail) dah nafikan dah yang saya memang tak ada dalam tu,” katanya.
Terdahulu Ismail mengesahkan dia menandatangani proklamasi oleh empat Undang untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz namun mendakwa ia dilakukan atas paksaan dan tekanan.
Ismail juga mengesahkan dia membuat laporan polis mengenai perkara itu.
"Kerajaan Negeri berpendirian bahawa surat cara tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959," katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.
Kenyataannya itu dikeluarkan selepas Undang Yang Empat semalam mendedahkan dokumen yang ditandatanganinya. Borang itu ditandatangani pada 3 Ogos lalu iaitu sehari selepas Ismail mengangkat sumpah jawatan menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz.
Ismail bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa dia menunggu lebih sebulan untuk membuat laporan polis.
Sementara itu dua pemimpin Umno turut menafikan penglibatan mereka dalam mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan Ismail menandatangani surat pengisytiharan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bukan saja dia tidak ada ketika itu, malah “tidak pernah terlibat.”
“Saya tak ada, saya tak pernah terlibat. Saya bukan pemimpin Negeri Sembilan.
“Tak pernah terlibatlah, saya (perwakilan) nasional,” katanya.
Sementara itu Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said turut menyatakan dia tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
"Saya tidak ada waktu dia (Ismail) tandatangan. Memang tidak ada," katanya ringkas. - Mkini

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.