Ketua Pengarah Aedy Fadly Ramli berkata ia akan diperluas ke seluruh negara untuk buru lebih ramai pemilik kenderaan ubah suai kenderaan secara ekstrem.

Ketua Pengarah, Aedy Fadly Ramli, berkata kesalahan itu dikesan dalam Ops Ekstrem dijalankan sekitar Kuala Lumpur pada 6 Sept lalu membabitkan 78 anggota termasuk JPJ Selangor dan Negeri Sembilan.
“Operasi ini susulan aduan dan maklumat orang awam berhubung kenderaan diubah suai secara ekstrem hingga menimbulkan gangguan bunyi dan menjejaskan ketenteraman masyarakat.
“Berdasarkan maklumat daripada operasi, ada pemilik menghabiskan sehingga RM150,000 untuk mengubah suai kenderaan mereka.
“Ada yang mengubah suai sehingga kedudukan badan kenderaan terlalu rendah hingga mencecah jalan selain menggunakan sistem ‘air suspension’ yang tidak diluluskan di negara ini,” katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malam tadi.
Beliau berkata, dalam operasi itu 97 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan, termasuk 97 kes nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, 77 kesalahan ekzos, 66 kes LKM tamat tempoh, 57 kes tiada perlindungan insurans, 44 kes cermin gelap dan 11 kes pengubahsuaian bentuk.
Katanya, sebanyak 485 notis dikeluarkan selain 37 kenderaan disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“Semua pengubahsuaian kenderaan perlu mendapat kelulusan JPJ dan kenderaan yang disita tidak akan dilepaskan sehingga dikembalikan kepada keadaan asal.
“Kenderaan yang melakukan pengubahsuaian tidak sepatutnya akan ditahan, sita dan diambil tindakan sewajarnya sehingga ia diubah semula ke bentuk asal,” katanya.
Menurutnya, Ops Ekstrem akan diperluaskan ke seluruh negara mulai minggu ini untuk mengesan lebih ramai pemilik yang melakukan pengubahsuaian tidak sepatutnya terhadap kenderaan masing-masing.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta kastam bagi meneliti tindakan terhadap barangan pengubahsuaian yang tidak dibenarkan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.