`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

31 AUGUST 2026

Tuesday, September 8, 2026

Berjuang dalam PAS ‘gerenti’ ke syurga?

 Keahlian atau perjuangan melalui parti Islam bukan jaminan ke syurga kerana niat, amal dan pengakhiran seseorang tetap menjadi penentu di sisi Allah.

tajuddin rasdi

Saya ingin membuat sedikit komentar berkenaan kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan baru-baru ini tentang sokong PAS boleh masuk syurga.

Konteks laporan saya baca itu saya rasa Takiyuddin sedang menjawab sindiran ramai pengkritik PAS bahawa parti itu ‘menjaja’ syurga untuk menang pilihan raya.

Jadi, saya rasa beliau kemungkinan membuat sindirannya sendiri dengan mengatakan ‘memanglah kalau berjuang dalam Islam melalui PAS, insya-Allah dapat masuk Syurga’.

Jadi isunya adalah berjuang atas platform Islam, bukan sangat platform PAS, namun demikian bunyi slogan PAS memang berdiri di atas konsep ugama dalam politik dan politik dalam ugama.

Bagi PAS, menang agama di dunia, sudah tentulah menang akhirat dan masuk syurga. Dalam banyak hal, logik ini munasabah juga dari satu perspektif tetapi ada banyak lagi soalan yang boleh kita buat dalam konsep yang diuar-uar ini.

Jadi saya nak bertanya dan juga nak mengingatkan umat Islam termasuk orang PAS sendiri tentang apa yang kita tahu dan tak tahu tentang bab nak masuk syurga.

Pertama, saya ambil bab Jihad dulu. Ini yang senang sebab orang kata mati syahid terus ke Syurga. Senang saja nampaknya, angkat parang, angkat pistol atau mesin gun dan berkorban menentang musuh.

Golongan Islamic State mungkin mengiklankan kalau pasang bom kat dada dan pergi ke ‘supermarket’ kafir yang ada wanita, kanak-kanak, orang tua serta dewasa maka bom lah mereka kemudian sah kamu masuk syurga.

Mungkin yang bawa lori langgar orang-orang ‘kafir’ di Nice, Perancis dulu pun sama diberitahu. Pun juga yang pasang bom bunuh diri di stadium di Manchester. Semuanya sah masuk Syurga.

Jadi mengikut Takiyuddin, kalau berjuang dalam PAS, macam berjihadlah boleh masuk syurga, insya-Allah dia kata. Namun demikian, kita kena tengok kualiti Jihad kita waima pun kalau kita nak gadaikan nyawa dalam peperangan.

Contoh termasyhur adalah cerita Saidina Ali bin Abu Talib. Beliau berjuang dalam perang dengan kafir harbi dan hampir menjunamkan pedang ke dada musuh tetapi musuh itu meludah ke mukanya. Apa Ali buat?

Dia terus berhenti dan berundur. Orang kafir harbi itu hairan dan bertanya, you got the upper hand kenapa tak bunuh saya ketika itu? Semua orang Islam tahu jawapan Ali sebab dah biasa dengar cerita ini.

Ali kata masa saya berjuang saya berjuang untuk Islam tetapi bila kamu meludah ke muka maka niat saya berubah seketika kerana marah kepada kamu.

Saya tidak mahu membunuh selain dari niat berjuang untuk Islam dan bukannya kerana marah peribadi.

Maka itu, golongan yang isi borang PAS nak kena tahu. Kalau berjuang dalam PAS nak ambil alih kuasa tidak semestinya sama dengan berjuang ikhlas untuk Islam.

Ada yang nak jadi wakil rakyat dapat elaun banyak. Ada yang kemaruk nak jadi menteri atau perdana menteri. Ada dah terliur dapat gaji RM100,000 dalam GLC.

Ada yang dan berderet ahli perniagaan yang nak masuk kontrak dan bagi komisyen demi ‘Islam’ pada parti atau lebih baik bank akaun sendiri.

So, semasa berjuang, kena semak hati tiap-tiap hari, betulkah ‘jihad’ dalam PAS masuk Islam dan bukan sebab dapat jawatan?

Kedua, saya nak cakap tentang hadis favourite saya sebab ia menjadi pedoman harian hidup saya. Hadis ini seperti berikut:

· Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” **[Riwayat Muslim (**2643)]

Dalam hadis ini kalau kita anggap yang kita dah boleh buat tempahan di syurga kerana kita dah banyak dekad dan tahun menjadi mufti, menjadi pemimpin parti Islam atau menjadi pendakwah bebas yang banyak dibayar lumayan maka kita kena tahu bahawa ini bukan gerenti kita masuk syurga.

Hadis ini, bagi saya mengingatkan diri saya supaya sentiasa berjuang, sentiasa memperbaharui dan membetulkan niat dan berbuat amal kebajikan dan kebaikan untuk semua manusia dan tidak menghina, mentohmah dan memfitnah sesiapa maka saya berharap Allah akan terima ibadat ini.

Kita jangan mendabik dada kita ni juara Islam sebab parti kita nama Islam, tempat kerja kita ada Bahagian Islam atau bank kita Bank Islam. Jangan bongkak macam tu. Sedar sikit.

Akhir sekali, kita kena semak diri kita setiap hari, ibadah khusus dan amalan kita untuk membuat kebaikan kedua-duanya adalah rahsia kita dengan Allah.

Kalau kita puasa, kita saja yang tahu dan Allah. Tak payah suruh orang lain makan dalam tandas. Tak perlu tutup restoran sampai 4 petang.

Kalau kita sembahyang Tahadjud tu tak payah ambil ‘selfie post’ dalam Facebook.

Kalau kita bagi sedekah tak perlu bagi tahu orang lain. Kalau kita pergi Haji tak perlu buat kenduri satu kampung, cukup sekadar berpesan kepada waris, mungkin kita tak balik langsung dan ajal dah sampai.

Di akhir hayat kita, saya selalu ibaratkan diri saya macam kucing yang minta makanan di restoran mamak. Dia datang duduk dekat kita sambil mata memandang ke atas.

Kalau kita bagi dia dapat makan dan kalau kita tak bagi dia duduk situ sampai kita tinggalkan meja makan itu. Jadi, saya fikir, dengan Allah Ta’ala, kita mesti jadi macam kucing itu.

Kita dah buat semua ibadat khusus seikhlas mungkin. Kita dah buat amal kebajikan untuk semua manusia. Kita tidak simpan benci, dengki, iri hati atau dendam kesumat pada sesiapa.

Last sekali kita pun tak tuduh rakyat lain musuh Islam tanpa bukti jelas. Lepas kita dah semak niat dan buat semua tu maka layaklah kita duduk di bawah meja tunggu Rahmat dan Belas Kasihan dari Allah.

Sama ada kita masuk syurga atau tidak itu terpulang kepadaNya. Not up to us. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.