Kerjasama MBWP dan GeKrafs Malaysia tumpu pembangunan bakat, akses pasaran, pelaburan dan jaringan industri bagi memperluas peluang ekonomi belia kreatif di rantau Asean.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara MBWP dan GeKrafs Malaysia, disaksikan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Mohammad Iman Hascarya Kusumo serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Azmir Saifuddin Mutalib.
Presiden MBWP Khairul Rizam Abu Samah berkata kerjasama itu bertujuan mewujudkan jaringan belia Malaysia-Indonesia yang lebih tersusun, khususnya dalam industri kreatif, teknologi dan keusahawanan.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar pertukaran idea, malah dirangka untuk membuka peluang ekonomi baharu kepada belia Malaysia menerusi akses kepada pasaran, pelaburan, teknologi dan rangkaian industri di peringkat serantau serta global.
“Matlamat utama adalah membentuk ekosistem industri kreatif anak muda di peringkat Asean serta mewujudkan ruang penciptaan ekonomi anak muda Malaysia di peringkat global dalam bidang industri kreatif,” katanya dalam kenyataan.
Khairul Rizam berkata kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat menerusi program pemecutan, kelas induk teknikal, kem latihan, webinar pengewangan harta intelek serta bengkel media digital.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran dan keupayaan profesional usahawan kreatif muda.
MBWP dan GeKrafs juga akan membangunkan platform pemadanan perniagaan, ekspo, hackathon, pameran seni digital serta pertandingan idea kreatif bagi menghubungkan pencipta muda dengan pelabur dan pemain industri dari Malaysia, Indonesia serta negara Asean lain.
Ketua DLPN GeKrafs Malaysia Rika Amelia Rush berkata kerjasama dua hala itu akan menggabungkan rangkaian profesional muda MBWP dengan ekosistem pengamal industri kreatif GeKrafs.
Katanya, jaringan itu akan memperluas perkongsian ilmu, akses pasaran dan pelaksanaan inisiatif digital bersama.
Kerjasama berkenaan turut dirangkaikan dengan Ekraf Talk, Mini Expo dan Business Matching Ekonomi Kreatif Indonesia-Malaysia yang mengetengahkan peluang dalam ekonomi kreatif, pelaburan, perdagangan, teknologi dan digitalisasi.
Program itu turut merangkumi inovasi, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta keusahawanan.
Rika berkata inisiatif itu diharap menjadi platform berterusan untuk melahirkan pemimpin industri kreatif Asean yang mampu mencipta peluang ekonomi, menembusi pasaran antarabangsa serta mengangkat karya dan bakat belia Malaysia ke peringkat global. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.